IVAN Mamut (tengah) idam permulaan baik dalam aksi Piala Sumbangsih malam esok. -FOTO TFC
IVAN Mamut (tengah) idam permulaan baik dalam aksi Piala Sumbangsih malam esok. -FOTO TFC
ADISAK idam permulaan baik dalam aksi Piala Sumbangsih malam esok. -FOTO TFC
ADISAK idam permulaan baik dalam aksi Piala Sumbangsih malam esok. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun bakal membuat penampilan pertama dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini, bintang baharu Terengganu FC (TFC), Adisak Kraisorn berikrar untuk mencipta sejarah manis buat pasukan dan dirinya.

Malah pemain skuad kebangsaan Thailand itu yang membantu negaranya muncul juara Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bulan lalu juga mahukan permulaan yang baik walaupun sedar lawannya, Johor Darul Ta'zim (JDT) bukannya calang-calang pasukan sebaliknya berstatus gergasi Liga M.

Namun pemain berusia 32 tahun itu yang sudah membuat 56 penampilan dengan meledak 21 gol bersama skuad kebangsaan negaranya percaya jika dia dan rakan sepasukannya beraksi dengan baik serta mengikut perancangan jurulatih, Tomislav Steinbrukner, skuadnya pasti pulang tersenyum ke bumi Terengganu.

"Pertemuan pertama musim ini dalam pentas Piala Sumbangsih yang juga aksi sulung saya dalam saingan Liga M semestinya menjadi cabaran yang berliku buat kami terutama tanpa kehadiran 'arkitek', Habib Haroon yang tidak dapat beraksi selepas mengalami kecederaan.

"Tambahan pula skuad JDT bukannya mudah untuk ditumpaskan lebih-lebih lagi pasukan itu memiliki pemain terbaik selain reputasi juara bertahan empat trofi musim lalu iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan juga Piala Malaysia.

"Bagaimanapun saya percaya dalam sukan bola sepak apa-apapun boleh terjadi, sejarah pernah tercipta TFC menumpaskan pasukan itu 1-0 dalam saingan Liga Super 2021 di stadium sama (Sultan Ibrahim).

"Lagipun saya berkeyakinan taktikal yang bakal diterapkan barisan jurulatih diketuai Steinbrukner selain pastinya beliau sudah 'masak' dengan corak permainan JDT kerana pernah menjawat jawatan Pengarah Teknikal TFC sebelum ini," katanya yang dijangka bergandingan dengan penyerang import dari Croatia, Ivan Mamut.

Bagi Mamut, 26, dia juga mahukan permulaan yang baik bersama pasukan baharunya itu lebih-lebih lagi musim pertamanya dalam pentas Liga M selepas berhijrah daripada kelab FCSB dalam Liga Romania.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:09 PM