ADISAK diperkenalkan oleh TFC. FOTO FB TFC
ADISAK diperkenalkan oleh TFC. FOTO FB TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn sah menjadi pemain import ketiga Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas pemain kelab Muangthong United FC dalam Liga Thailand berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama skuad Penyu sehingga musim 2024.

Sebelum ini TFC sudah menyambung kontrak pemain tengah musim ini kelahiran Bahrain, Habib Haroon selain mengikat bekas pemain tengah Melaka United FC (MUFC), Sony Norde.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, kehadiran penyerang lincah skuad negara Gajah Putih itu adalah bagi mengisi kuota pemain import Asean.

"Penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn secara rasmi sah menjadi milik pasukan TFC dalam mengharungi saingan Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan.

"Pemain dari kelab Muangthong United iaitu kelab yang beraksi di liga utama Thailand itu menandatangani kontrak bersama pasukan ini selama dua tahun dan bakal menyarung jersi bernombor sembilan yang sebelum ini milik penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman.

"Pemain yang mengisi kuota pemain import Asean yang juga pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan negaranya Bawah 19 Tahun (B-19) dan B-23 hadir bagi menggantikan bekas pemain tengah Filipina, Manuel Ott yang berhijrah bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim depan.

"Kita harap kehadiran pemain itu bakal menajamkan lagi posisi serangan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner dari Croatia bagi memastikan pasukan ini terus berdaya saing dalam kancah Liga M selain Piala AFC yang sudah pastinya lebih mencabar pada musim depan," katanya.

Berdasarkan rekod, penyerang yang mempunyai sentuhan berbisa itu pernah memenangi gelaran penjaring terbanyak kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2018.

Pemain berketinggian 1.83 meter yang kini bersama pasukan kebangsaan negaranya dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pernah membantu Thailand menjulang trofi piala ini pada 2014 dan 2020.

Selain kelab Muangthong United, pemain yang sudah membuat 49 penampilan dengan meledak 19 gol bersama pasukan kebangsaan negaranya pernah menyarung jersi kelab Phuket FC, Buriram United FC, BEC Tero Sasana FC dan Port FC dalam Liga Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 12:09 PM