PENYERANG import Terengganu FC, Adisak Kraisorn. FOTO TFC
PENYERANG import Terengganu FC, Adisak Kraisorn. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas berjaya membantu skuad kebangsaan negaranya, Thailand mengekalkan gelaran 'raja' bola sepak Asia Tenggara, majikan baharu Adisak Kraisorn, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mahukan penyerang itu mampu mengulangi aksi terbaiknya bersama kelab berkenaan musim ini.

Pada 16 Januari lalu, Adisak yang diletakkan sebagai penyerang utama skuad negara Gajah Perang itu pada aksi final kedua berjaya membantu negaranya muncul juara Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) selepas menumbangkan Vietnam 1-0 selepas final pertama berkedudukan 2-2.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, kejayaan pemain import baharu skuad Penyu itu membantu negaranya muncul juara pada temasya Piala AFF itu begitu menggembirakan pihak pengurusan TFC dan juga barisan kejurulatihan.

Katanya, walaupun tidak menjaringkan gol pada aksi final itu, namun pemain memakai jersi nombor 9 itu yang meraikan setiap jaringan dengan gaya 'Ultraman' beraksi cemerlang bermula pada minit awal permainan sebelum digantikan pada penghujung perlawanan.

"Tahniah buat Adisak yang berjaya membantu pasukan negaranya muncul juara Piala AFF baru-baru ini, walaupun tidak berjaya menjaringkan gol kerana dikawal ketat pemain Vietnam, namun pemain itu beraksi cemerlang sehingga menyebabkan pertahanan lawan kucar-kacir.

"Sememangnya dia seorang pemain yang sarat dengan pengalaman beraksi di pentas yang besar selain bijak menggunakan peluang yang diberikan ketua jurulatih setiap kali diturunkan dalam kesebelasan utama dengan menjadi watak penting dalam pasukannya.

"Jadi harapan saya agar pemain itu (Adisak) mampu beraksi cemerlang bersama TFC pada musim ini dengan menggunakan kelebihan dan kemahiran yang ada padanya kerana misi pasukan adalah melakar pencapaian lebih baik berbanding musim lalu," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu jurulatih baharu TFC, Tomislav Steinbruckner gembira dengan prestasi penyerang berpengalaman Thailand itu yang beraksi cemerlang sepanjang kempen Piala AFF 2022 dengan menjaringkan masing-masing satu gol ketika berdepan pasukan Malaysia pada aksi separuh akhir kedua dan Filipina pada peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 1:58 PM