PENYERANG Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dan penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.
PENYERANG Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dan penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Jika Thailand memiliki Adisak Kraisorn sebagai mesin gol mereka, Malaysia pula ada peledak berbisa Norsharul Idlan Talaha.

Kedua-duanya memainkan peranan sama apabila menjadi penyumbang gol utama buat pasukan masing-masing sepanjang Piala AFF kali ini.

Apa yang menarik, kedua-duanya mengungguli dua kelompok teratas dalam senarai penjaring terbanyak selepas berakhir empat aksi peringkat kumpulan.

Situasi itu sekali gus bakal menyaksikan pertarungan hebat dua pemain yang menyarung jersi ‘nombor 9’ menjelang aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kemampuan Adisak yang sentiasa meraikan jaringan dengan gaya ‘Ultraman’ tidak boleh dipertikaikan lagi selepas mengumpul lapan gol sepanjang aksi peringkat kumpulan.

Enam gol diledak ketika aksi pertama Kumpulan B berdepan Timor Leste juga sudah cukup untuk membuktikan ketajaman penyudah dimiliki pemain berusia 27 tahun itu.

Justeru, kawalan paling ketat seharusnya diberikan benteng Harimau Malaya buat pemain kelab Muangthong United itu jika tidak mahu mengalami kekecewaan di Bukit Jalil nanti.

Norshahrul atau Mat Yo juga pastinya bakal menjadi sasaran utama pertahanan skuad Gajah Perang selepas muncul penjaring terbanyak buat Harimau Malaya dengan empat gol setakat ini.

Biarpun lima tahun lebih tua dari Adisak, tapi faktor usia tidak perlu dijadikan halangan buat pemain Pahang itu untuk memastikan Gajah Perang pulang tempang sebelum aksi kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Disember ini.

Nama Mat Yo sememangnya tidak asing lagi bagi peminat bola sepak tempatan dengan dia menjadi antara pemain paling senior dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Malah, kepakarannya membaca pergerakan bola dan berada pada kedudukan tepat untuk mencipta jaringan bakal menjadi perkara paling penting untuk dia dianggap sebagai ‘ayam tambatan’ Harimau Malaya.

INFO

Nama: Norshahrul Idlan Talaha

Umur: 32 tahun

Kelab: Pahang

Jumlah gol di Piala AFF 2018 : 4

 

Nama: Adisak Kraisorn

Umur: 27

Kelab: Muangthong United

Jumlah gol di Piala AFF 2018: 8

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 7:55 PM