PEMAIN sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi (dua dari kanan) cuba melepasi kawalan pemain India pada perlawanan di kejohanan Pestabola Merdeka 2023, Oktober tahun lalu. FOTO BERNAMA
PEMAIN sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi (dua dari kanan) cuba melepasi kawalan pemain India pada perlawanan di kejohanan Pestabola Merdeka 2023, Oktober tahun lalu. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Saingan Pestabola Merdeka, September ini adalah peluang keemasan buat pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon 'meneroka' lebih ramai pemain baharu bagi diketengahkan sebagai persiapan membentuk pasukan mantap dalam kempen Piala AFF, hujung November ini.

Pandangan itu disuarakan jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin yang kini bertindak selaku Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau berkata, sasaran utama selepas gagal layak ke Piala Dunia 2026 adalah Pan-gon wajib meraih gelaran juara di Piala AFF selain layak sekali lagi ke Piala Asia 2027 apabila pusingan kelayakan untuk ke Piala Asia bermula tahun depan.

Ujarnya, memandangkan kemungkinan ramai tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC tidak akan menyertai Piala AFF kerana bertembung dengan aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan ACL II, maka saingan Pestabola Merdeka perlu dijadikan medan eksperimen memanggil muka baharu buat mengisi ketiadaan tonggak utama nanti.

"Kita dapat lihat sebelum ini apabila ramai tonggak utama cedera, kita kehilangan kekuatan di beberapa bahagian terutama di posisi sayap.

"Tapi bila peluang diberikan kepada muka baharu seperti Adib Ra'op dan Haqimi Azim, sebenarnya mereka boleh mengisi kekosongan ditinggalkan pemain utama.

"Ramai lagi yang boleh diketengahkan dalam Pestabola Merdeka nanti termasuk pemain Kuching City, Jimmy Raymond yang menunjukkan aksi terbaik dalam Liga Super dan Piala FA.

"Jadi bila ramai pemain baharu dicuba dan diberi peluang, kita akan ada kelompok pemain yang besar dan apabila ada isu kecederaan tonggak utama atau tak dapat pelepasan dari kelab, pemain baharu ini boleh mengisi kekosongan itu.

"Paling penting kita nak tengok pasukan kita boleh mencabar kejuaraan Piala AFF nanti kerana ini satu-satunya peluang Pan-gon untuk menang trofi sebab pasukan Thailand, Indonesia dan Vietnam mungkin kehilangan pemain utama berikutan ia dijalankan di luar kalendar Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa)," katanya.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala AFF adalah pada 2010 dan sejak Pan-gon membimbing pasukan negara pada 2022, kejayaan layak ke Piala Asia 2023 sahaja pencapaian terbesar diraih jurulatih dari Korea Selatan itu.

Ujar Sulaiman, dua daripada tiga pasukan dijemput ke Pestabola Merdeka 2024 iaitu Tajikistan dan Lubnan adalah lawan cukup baik buat skuad negara selain Filipina.

Katanya, dua pasukan itu berada di ranking lebih tinggi berbanding skuad negara, jadi sudah tentu kualiti pertandingan itu bagus untuk pendedahan buat pemain baharu nanti.

Tajikistan yang juga juara bertahan kini menduduki tangga ke-102 dunia, diikuti Lubnan ke-117, Malaysia (135) dan Filipina (147) akan bersaing di Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 2 hingga 10 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:49 PM