NATXO terpilih dalam senarai 26 pemain yang diumumkan Pan-gon. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
NATXO terpilih dalam senarai 26 pemain yang diumumkan Pan-gon. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman tempatan, Irfan Bakti Abu Salim akui 26 pemain yang diumumkan Kim Pan-gon bagi menghadapi kempen Piala Asia di Qatar pada bulan depan adalah yang terbaik sejak pengendali Korea Selatan itu membimbing skuad Harimau Malaya awal tahun lalu.

Bagaimanapun, Irfan yang pernah mengendalikan banyak pasukan seperti Terengganu, Selangor, Felda United, Persipura Jayapura dan Kuching City FC selama hampir tiga dekad ini mempersoalkan beberapa perkara dan ia perlu diambil perhatian oleh Pan-gon.

Jelas sosok yang sarat dengan pengalaman itu, beliau agak terkejut dengan penyenaraian beberapa nama yang boleh dipersoalkan terutamanya Natxo Insa di mana pemain berdarah warisan itu sangat kurang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Katanya, justifikasi pemilihan Natxo agak diragui kerana pemain itu sepanjang musim ini lebih banyak berada di luar senarai skuad Harimau Selatan di mana dia juga kerap mengalami kecederaan.

"Memang jurulatih ada hak untuk tentukan siapa pemain yang beliau mahukan dan tak kisah nak panggil siapa.

"Cuma saya kurang bersetuju dengan Natxo kerana tahun ini berapa banyak perlawanan yang dia bermain. Bagi saya Pan-gon perlu buktikan kemampuan Natxo adakah layak dipanggil

"Syamer Kutty (Abba) dan Khuzaimi (Piee) pun sama juga tak ada minit dan kurang bermain. Jadi macam mana boleh menilai pemain ini," katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan data statistik Natxo di Transfermarkt, dia hanya mencatatkan 209 minit permainan dalam lapan aksi Liga Malaysia termasuk hanya beraksi tujuh perlawanan daripada 26 aksi Liga Super, itu pun sebagai pemain gantian di separuh masa kedua.

Selebihnya, dia langsung tidak berada dalam senarai pasukan atau lebih tepat tidak langsung berada di bangku simpanan. Satu-satunya perlawanan penuh dilalui Natxo adalah dalam aksi terakhir Liga Juara-Juara Asia ketika menentang BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim.

Ujar Irfan lagi, terlalu ramai pemain naturalisasi turut perlu diberi perhatian oleh Pan-gon dengan kemunculan tonggak terbaharu, Romel Morales bersama skuad negara

"Keduanya, pasukan kita terlalu ramai pemain naturalisasi. Mungkin Morales kita boleh faham dia bermain baik dengan KL City musim ini di mana berjaya menjaringkan banyak gol.

"Tapi janganlah terlalu ramai hingga kita lupa di mana kita tetap kena lahirkan pemain tempatan seperti Arif Aiman, Faisal Halim dan Akhyar Rashid. Jepun pun ada pemain naturalisasi dulu, tapi tidak terlalu ramai macam kita," katanya.

Dalam perkembangan sama, Irfan turut akui Pan-gon 'bertuah' apabila dapat membariskan 'skuad impiannya' berbanding jurulatih kebangsaan sebelum ini yang tidak dapat pemain dikehendaki.

Justeru dengan segala bentuk sokongan diraih, pasukan ini seharusnya boleh mencipta kejutan di Piala Asia nanti apabila bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi Asia.

"Dah tak boleh nak bagi alasan kerana ini adalah barisan yang terbaik pernah dihimpunkan. Jadi kita harapkan keputusan terbaik di Piala Asia nanti dan cuba mara sejauh mungkin".

Menerusi pengumuman senarai pemain, skuad Harimau Malaya dilihat benar-benar serius menjelang kempen Piala Asia di Qatar bulan depan apabila menyenaraikan barisan terkuat ke pusingan akhir pentas Asia itu.

Menerusi pengumuman nama 26 pemain yang dikeluarkan, Pan-gon membuat kejutan apabila menyenaraikan buat pertamanya kalinya penyerang naturalisasi terbaharu Malaysia, Romel Morales bagi memperkuatkam jentera serangan negara.

Malah, kehadiran semula Natxo turut mencuri tumpuan dengan kali terakhir pemain tengah JDT itu beraksi buat negara pada 2018 lalu ketika menentang Mongolia dalam aksi persahabatan.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 1:56 PM