AHMAD Khuzaimi dalam usaha mempertingkatkan prestasi ke tahap optimum selepas pulih daripada kecederaan. FOTO GENES GULITAH
AHMAD Khuzaimi dalam usaha mempertingkatkan prestasi ke tahap optimum selepas pulih daripada kecederaan. FOTO GENES GULITAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pertahanan kental negara Ahmad Khuzaimi Piee akan pastikan kehadirannya berbaloi selepas disenaraikan membarisi skuad kebangsaan pada dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, di Stadium Sultan Ibrahim, hujung bulan ini.

Walaupun disisihkan oleh Selangor FC pada awal saingan Liga Super akibat kecederaan namun Khuzaimi tetap mendapat kepercayaan daripada pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon untuk mengawasi benteng negara daripada dibolosi pada perlawanan persahabatan itu.

Khuzaimi berkata, dia kini dalam usaha mempertingkatkan prestasi ke tahap optimum selepas pulih daripada kecederaan ketika mewakili negara di saingan Piala AFF Disember tahun lalu.

"Saya menyerahkan segala keputusan kepada Pan-gon dan percaya beliau sudah tentu melihat kelebihan serta kemampuan pemain sebelum senaraikan barisan Harimau Malaya.

"Jika melihat kepada barisan pertahanan negara, kita memiliki pemain muda yang cukup berpotensi dan mempamerkan aksi terbaik ketika mewakili negara.

"Sudah pastinya, pemain yang dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya akan memberikan komitmen tinggi dalam memastikan pasukan negara meraih keputusan positif," katanya.

Mengikut rekod, Khuzaimi mengalami kecederaan selepas aksi Piala AFF menentang Myanmar hingga menyebabkan dia terpaksa berehat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dibenarkan beraksi bersama Selangor FC.

Sebelum ini, Pan-gon memanggil 27 pemain ke kem latihan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, di Stadium Sultan Ibrahim, hujung bulan ini.

Malah, Pan-gon menyenaraikan dua tonggak naturalisasi terbaharu negara iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos bagi menguji pemain terbabit dalam usaha membariskan individu terbaik mewakili negara ke Piala Asia tahun depan.

Selain Josue dan Endrick, turut mencuri tumpuan adalah kelibat tonggak kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine yang pernah menjalani latihan bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:23 PM