TEERASIL meraikan jaringannya.
TEERASIL meraikan jaringannya.
Daripada Syafiq Aznan di Bangkok


Bangkok: Thailand mendahului Malaysia 1-0 bagi 45 minit pertama aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, sebentar tadi.

Kedudukan itu menyaksikan agregat 1-1 dilakar untuk kedua-dua pasukan dan jika keputusan itu kekal selepas 90 minit, aksi akan berlanjutan ke masa tambahan.

Aksi 'sebelah padang' disajikan selepas Thailand lebih banyak menyerang sementara Malaysia sekadar menunggu untuk mendapatkan ruang bagi melakukan serangan balas pantas.

Meskipun mengawal permainan, Thailand bergelut mencari 'lubang' sehingga memaksa satu percubaan dari luar kotak penalti dilancarkan Peeradol Chamrasamee pada minit kelapan.

Malaysia jelas tertekan apabila bola kerap kali melintas masuk ke dalam kotak penalti Malaysia dan Sharul Nazeem Zulpakar menafikan peluang Teerasil Dangda pada minit ke-12 sebelum Ahmad Syihan Hazmi menepis percubaan Bordin Phala pada minit ke-17.

Malaysia hanya mampu bertahan selama 19 minit apabila 'bocor' pada minit ke-19 selepas hantaran lintang Teerathon Bunmathan ditanduk Teerasil untuk menjadikan agregat 1-1.

Peluang pertama Malaysia hadir pada minit ke-36 namun bagaikan 'gigitan nyamuk ke atas gajah', tandukan Darren Lok hasil hantaran lintang Norhakim Hassan tepat ke dakapan Kampon Phatomakkakul.

Berdasarkan peluang yang dimiliki Thailand pada babak pertama, Malaysia boleh dianggap bertuah apabila menamatkan babak pertama dengan ketinggalan hanya 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 9:23 PM