POLKING anggap aksi Thailand di Bukit Jalil lebih baik berbanding di Thammasat.
POLKING anggap aksi Thailand di Bukit Jalil lebih baik berbanding di Thammasat.
Daripada Syafiq Aznan di Bangkok


Bangkok: Pengendali Thailand, Alexandre Polking merumuskan dua aksi separuh akhir Piala AFF 2022 yang diharungi anak buahnya sehingga mara ke final sebagai menakjubkan.

Namun pengendali kelahiran Brazil tetap mengganggap separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai aksi lebih baik sekalipun mereka tewas 1-0.

"Dua aksi separuh akhir yang fantastik tetapi saya percaya aksi di Malaysia adalah lebih baik untuk kita berbanding hari ini.

"Tetapi aksi separuh akhir adalah 180 minit dan secara keseluruhan, dua perlawanan ini lebih baik berbanding peringkat kumpulan," kata Polking.

Dalam perkembangan sama, Polking melihat kejayaan mereka mengekang Harimau Malaya daripada mendapatkan gol menjadi antara 'kunci' yang membantu Thailand meraih kemenangan sesa 3-0.

"Kita mendapat gol yang diperlukan tetapi ini aksi sengit khususnya pada babak pertama.

"Tetapi mereka tidak dapat mencipta peluang kerana kami bertahan dengan baik. Kita tahu kita tidak boleh membenarkan mereka mendapatkan gol di sini," katanya.

Terdahulu, Thailand yang juga juara bertahan mengesahkan tiket ke final Piala AFF 2022 apabila menundukkan Malaysia 3-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat, malam tadi.

Kemenangan 3-0 di laman sendiri itu membolehkan skuad bimbingan Alexandre Polking mara menerusi agregat 3-1 sekali gus menempah pertemuan dengan Vietnam bagi perebutan gelaran 'Raja Asean'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 7:04 AM