GAYA  Bordin meraikan jaringan ketika menentang Indonesia. FOTO AFP
GAYA Bordin meraikan jaringan ketika menentang Indonesia. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Thailand hanya selangkah bergelar juara Piala Suzuki AFF 2020 apabila berjaya membenam Indonesia 4-0 pada aksi final pertama sebentar tadi.

Jelas sekali ayam tambatan skuad Gajah Perang Chanathip Songkrasin menjadi duri dalam daging buat pasukan Garuda selepas dia menjaringkan dua gol sekali gus memberi kelebihan besar untuk ke final kedua, Sabtu ini.

Pada aksi di Stadium Nasional Singapura itu, Thailand bermula garang apabila hanya memerlukan dua minit untuk mendahului menerusi Chanathip.

Hantaran Philip Roller disambut dengan baik oleh kapten Thailand itu sebelum percubaannya yang menerjah gawang gol Indonesia hanya mampu dilihat Nadeo Argawinata.

Permainan pantas Thailand yang kerap kali bergerak menerusi bahagian sayap sentiasa mengancam Indonesia dan mereka nyaris melebarkan jurang pada minit ke-13. Hantaran lintang daripada sebelah sayap kiri Thailand menemui Bordin Phala namun volinya dihalang Asnawi Mangkualam di depan pintu gol Indonesia sebelum tandukan susulan Elias Dolah melewati palang.

Anak buah Shin Tae Yong mensia siakan peluang terbaik untuk mengikat kedudukan pada minit ke-40 apabila percubaan Alfeandra Dewangga yang hanya berdepan Siwarak Tedsungnoen melambung tinggi.

Bersambung babak kedua, Indonesia yang sedang mengancam kubu Thailand terpaku dengan serangan balas pantas Thailand yang disudahkan oleh Chanathip untuk gol kedua mereka pada minit ke-51.

Selepas percubaan penjaring terbanyak Indonesia, Irfan Jaya pada minit ke-61 diselamatkan Siwarak, Thailand beroleh gol ketiga enam minit berselang menerusi Supachok Sarachat disusuli gol keempat oleh Bordin (m83).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 10:38 PM