ULTRAS Malaya dapat sanjungan Fifa.
ULTRAS Malaya dapat sanjungan Fifa.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walaupun Harimau Malaya terlepas peluang mengesahkan slot ke final apabila tewas 0-3 kepada Thailand pada aksi separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium Thammasat, semalam sebenarnya terdapat perkara yang harus dibanggakan oleh peminat sukan tanah air.

Selain kesungguhan dipamerkan pemain negara, sikap profesional yang ditampilkan penyokong Harimau Malaya ketika berkunjung ke Stadium Thammasat turut mendapat perhatian ramai terutamanya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Menerusi Twitter rasmi Fifa, badan induk bola sepak antarabangsa itu memuji penyokong Harimau Malaya dengan menyifatkan ianya sebagai salah satu keindahan dalam dunia bola sepak.

"Perlawanan yang sangat indah, penyokong Malaysia menunjukkan tanda hormat kepada pemain Thailand selepas tewas kepada mereka dalam saingan Piala AFF," katanya.

Seperti diketahui ramai, Ultras Malaya dan penyokong setia skuad kebangsaana ntara yang menjadi elemen penting membantu pasukan negara sejak saingan Piala AFF 2022 ini berlangsung.

Sorakan padu mereka pada hari perlawanan sememangnya menjadikan suasana sekeliling bertambah meriah dan memberi motivasi sangat baik buat para pemain.

Pujian daripada Fifa itu membuktikan mereka mengikuti perkembangan semasa saingan Piala AFF walaupun tiada dalam tarikh kalendar rasmi.

Pada pertembungan semalam menyaksikan Gajah Perang mendahului menerusi tandukan penyerang prolifik Teerasil Dangda pada minit ke-19 sebelum pemain sayap Bordin Phala dan penyerang gantian Adisak Kraisorn, masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-55 dan ke-71.

Keputusan itu, menyaksikan Malaysia yang pernah juga juara 2010 tewas dengan keputusan agregat 1-3. Thailand akan membuat perhitungan menentang juara dua kali, Vietnam, pada perlawanan final secara timbal balik Jumaat ini dan Isnin minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 2:07 PM