Pemain Myanmar, Win Theingi Tun berebut bola dengan pemain Malaysia, Ji Fedalliah Claritta Jaimin (kanan). - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Pemain Myanmar, Win Theingi Tun berebut bola dengan pemain Malaysia, Ji Fedalliah Claritta Jaimin (kanan). - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Syafiq Aznan


SKUAD bola sepak wanita negara mengharungi detik 45 minit terburuk apabila dibelasah Myanmar 5-0 pada aksi kedua bola sepak wanita Sukan SEA 2017 di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Meskipun kental menahan asakan pasukan di ranking ke-45 dunia itu pada separuh masa pertama, anak buah Mohd Asyraaf Abdullah seakan hilang fokus dan tidak mampu meneruskan rentak yang diperagakan sebelum itu, membolehkan Myanmar berpesta gol apabila mereka meledak lima gol dalam tempoh 45 minit babak kedua.

Kepantasan Myanmar di bahagian sayap kerap ‘membuli’ pemain Malaysia dan hantaran lintang Myanmar gagal dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan Malaysia membolehkan lawan mudah menjaringkan gol.

Kekalahan itu menyaksikan laluan mereka untuk meraih sasaran pingat gangsa kian sukar, terutama selepas gagal meraih sebarang mata dalam dua perlawanan pertama dan kini perlu berdepan gergasi Asia Tenggara, Thailand, pada perlawanan ketiga Ahad ini sebelum menutup kempen bertemu Vietnam pada 24 Ogos.

Pada separuh masa pertama, benteng pertahanan Malaysia bijak mengekang asakan Myanmar dan ketangkasan Nur Azurin Maslan mengecewakan lawan membolehkan kedudukan terikat tanpa jaringan meskipun lawan menguasai sebahagian besar permainan.

Gol pertama Myanmar akibat kesilapan pemain gantian, Nur Athirah Farhanah Zairi yang cuba mengeluarkan bola namun tertampan masuk gawang sendiri pada minit ke-48.

Gol kedua hasil hantaran lintang Wer Phaw yang ditanduk masuk Theigi Tun pada minit ke-63.

Myanmar seakan tiada belas kasihan apabila menghukum kelekaan benteng pertahanan Malaysia menerusi tiga jaringan pantas dalam tempoh tujuh minit oleh Khin Moe Wai pada minit ke-73, Theigi Tun pada minit ke-77 dan Moe Wai pada minit ke-79.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 11:15 PM