IFWAT Akmal. -FOTO KDA FC
IFWAT Akmal. -FOTO KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Penjaga gol berpengalaman Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Ifwat Akmal sedia memberi persaingan yang sihat demi memastikan gawang Sang Kenari kebal pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dia yang bakal 'bersaing' merebut tempat sebagai penjaga gol utama musim 2023 ini perlu menggunakan pengalaman berharga selama tujuh tahunnya bersama Kedah bagi melepasi tahap prestasi yang dimahukan jurulatih penjaga gawang Mohd Yazid Mohd Yassin.

Selain itu Ifwat juga bakal 'dicabar' dua lagi muka baharu iaitu Kalamullah Al-Hafiz yang kini bersama skuad Harimau Malaya dan Fikri Che Soh yang masing-masing sedang membina nama mereka di pentas Liga M.

"Tiap-tiap tahun memang sudah menjadi kebiasaan ada persaingan dikalangan penjaga-penjaga gol. Musim lalu saya bersaing tempat bersama Syahril Sa'ari dan Ilham Amirullah dan pada musim baharu ini pula saya bakal bersaing dengan dua muka baharu iaitu Kalamullah dan Fikri yang masing-masing juga hebat.

"Ini adalah persaingan sihat untuk kekuatan gawang Kedah dan saya mahu terus tingkatkan lagi usaha dan bekerja keras bagi merebut tempat penjaga gol utama pada musim 2023 ini," katanya.

Penjaga gol berusia 26 tahun yang mendapat gelaran 'Man Of The Match' pada aksi final Piala FA 2019 turut mengakui corak persediaan dalam latihan penjaga gol sedikit berlainan pada musim ini di bawah kepimpinan jurulatih penjaga gol baharu berbanding musim lalu.

Ifwat memulakan aksinya dalam Liga M sejak musim 2016 dan pasukan Kedah merupakan satu-satunya pasukan yang diwakilinya dengan penampilan sebanyak 75 kali hingga ke musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:50 PM