KALAMULLAH (dua dari kiri) berjalan memasuki padang sebelum perlawanan menentang Kemboja, Jumaat lalu. FOTO FB FAM
KALAMULLAH (dua dari kiri) berjalan memasuki padang sebelum perlawanan menentang Kemboja, Jumaat lalu. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Petaling Jaya: Penjaga gol skuad kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi memasang impian untuk terus diberikan tanggungjawab menjaga gawang negara pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Kalamullah antara tujuh pemain yang meraih kaps pertama di pentas antarabangsa selepas menewaskan Kemboja 4-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Kalamullah berkata, walaupun mempamerkan aksi positif, dia percaya masih banyak kelemahan perlu diperbaiki jika mahu menjadi penjaga gol utama Harimau Malaya.

"Saya gembira kerana pasukan menang pada penampilan pertama sebelum ini, tetapi saya perlu perbaiki lagi kelemahan seperti hantaran kurang tepat.

"Namun, semua pemain sudah memberikan kerjasama dengan baik dan andai diberi peluang lagi, sudah pasti saya mahu terus membuktikan keupayaan sebenar untuk mengukuhkan tempat dalam skuad negara.

"Cuma, saya akui semua empat penjaga gol yang dipanggil kali ini ada kelebihan masing-masing. Saya perlu tunjukkan kelebihan saya dalam sesi latihan dan segala keputusan terpulang kepada jurulatih," katanya.

Pemain terbabit yang sah berhijrah ke Kedah Darul Aman (KDA FC) musim depan akan bersaing dengan Ahmad Syihan Hazmi, Rahadiazli Rahalim dan Azri Ghani untuk merebut tempat ke Piala AFF kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 7:45 PM