Aizat Sharif


Alor Setar: Aksi cemerlang ditampilkan penjaga gol Kedah Mohd Farhan Abu Bakar (gambar) dalam mengekang asakan serta percubaan berbahaya UiTM FC kelmarin memberi petanda bahawa dia bakal sekali lagi dipertaruhkan jurulatih Mohd Nidzam Adzha Yusoff pada perlawanan Liga Super menentang Pahang, Sabtu ini.

“Saya lihat prestasi dia (Farhan) semakin meningkat malah bertambah yakin terhadap diri sendiri dalam mengekang cubaan lawan.

“Walaupun sebelum ini, dia kerap dikritik kerana prestasi hambar, saya melihat perubahan ditampilkan itu membolehkan dia dikekalkan pada perlawanan menentang Pahang, Sabtu ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Darul Aman yang menyaksikan tuan rumah menang 1-0 ke atas UiTM FC.

Nidzam berkata, pujian itu tidak bermakna prestasi penjaga gol lain seperti Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim dan Abdul Hadi Abdul Hamid menurun namun ketiga-tiga penjaga gawang berkenaan harus bersaing merebut tempat sebagai penjaga gol utama.

“Ifwat dan Hadi juga berada dalam prestasi terbaik tapi mereka bertiga termasuk Farhan perlu sentiasa berusaha yang terbaik untuk merebut tempat sebagai penjaga gol pasukan dan tiada jalan mudah bagi perkara itu.

“Kita juga mengharapkan sokongan daripada pihak penyokong sendiri dalam memberikan keyakinan kepada penjaga gawang untuk memberikan aksi terbaik mereka setiap perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 10:10 AM