FANDI Ahmad pada sesi latihan Sri Pahang FC di Kuantan. -FOTO Sri Pahang FC
FANDI Ahmad pada sesi latihan Sri Pahang FC di Kuantan. -FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kemunculan Fandi Ahmad pada sesi latihan pertama skuad Sri Pahang FC semalam, seakan memberi gambaran awal bakal membimbing skuad itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kelab Bolasepak Sri Pahang FC (SPFC) musim ini memberikan kelebihan kepada jurulatih dari Singapura itu untuk bersama skuad Tok Gajah musim depan.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kelab itu berhubung kedudukan Fandi dan Datuk Dollah Salleh selaku ketua jurulatih Sri Pahang musim ini.

Segalanya masih menjadi tanda tanya kerana pada masa sama senarai pemain juga masih belum diumumkan termasuk import.

Hanya keputusan rasmi penyerang import dari Colombia, Steven Rodriguez yang sah tidak bersama skuad Tok Gajah musim depan.

Manakala nasib empat lagi pemain import iaitu Kevin Ingreso dari Filipina, Sherzod Fayziev (Uzbekistan), Mamadou Samassa (Mali) dan Manuel Hidalgo (Argentina) terus menjadi tanda tanya sama kekal atau sebaliknya.

Baru-baru ini, sumber SPFC berkata, setakat ini, hanya Fandi disebut-sebut untuk membimbing skuad itu dengan perubahan yang akan dilakukan terutama menampilkan barisan pemain berpengalaman.

"Fandi adalah pilihan utama ketika ini selepas bersama Sri Pahang pada pertengahan musim dalam membantu Sri Pahang memperbaiki kedudukan di dasar Liga Super.

"Kehadiran Fandi ternyata memberikan impak positif walaupun misi menduduki lima kedudukan terbaik saingan Liga Super musim ini tidak kesampaian," kata sumber itu.

Antara pemain yang menjalani latihan ialah Nor Azam Azih, Abdul Malik Mat Ariff, Baqiuddin Shamsuddin, Zarif Irfan Hashimuddin, Ashar Al Aafiz bin Abdullah dan Muslim Ahmad.

Namun, tiada kelibat empat pemain import musim ini bersama pemain tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 2:36 PM