PEMAIN SPFC meraikan jaringan ketika menentang Sabah FC. FOTO Bernama
PEMAIN SPFC meraikan jaringan ketika menentang Sabah FC. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mahu Sri Pahang tampil lebih padu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan bermula pada 3 Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ini kerana kedudukan kelima dalam saingan Liga Super belum mempamerkan kemampuan sebenar skuad Tok Gajah itu.

"Memang sasaran kedudukan lima terbaik dalam Liga super tercapai tetapi Sri Pahang perlu lebih padu untuk meletakkan kedudukan lebih baik pada musim 2024.

"SPFC akan berusaha untuk memastikan yang terbaik buat skuad Tok Gajah musim depan, terutama dari segi kemasukan pemain-pemain baharu termasuk import musim depan.

"Sri Pahang akan dibarisi pemain berpengalaman untuk memberi tentangan, sekaligus memperbaiki kedudukan lebih baik berbanding musim ini menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima," katanya.

Skuad Tok Gajah menamatkan saingan di kedudukan kelima daripada 14 pasukan yang beraksi di Liga Super, lebih baik berbanding musim lalu di kedudukan ketujuh daripada 12 pasukan.

Berdasarkan pencapaian dalam saingan Piala Malaysia pula, Sri Pahang mara ke suku akhir manakala Piala FA pula mara ke pusingan 16 terakhir.

Musim ini Sri Pahang meletakkan sasaran lima terbaik dalam saingan Liga Super.

Ditanya kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai pemain termasuk import musim depan, Mohammed Suffian berkata, segalanya bersandarkan kepada penilaian prestasi yang dilakukan barisan kejurulatihan.

"Kita harap prestasi dan permainan konsisten dapat dipersembahkan Sri Pahang musim depan, terutama di bahagian serangan dan tengah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 2:08 PM