RODRIGUEZ tidak bersama Sri Pahang FC musim depan. FOTO Bernama
RODRIGUEZ tidak bersama Sri Pahang FC musim depan. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengesahkan khidmat penyerang berasal dari Colombia, Steven Rodriguez tidak bersama kelab itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata pemain berumur 24 tahun akan kembali bersama kelab lamanya, Independiente Medellin, Colombia.

Katanya, ini kerana khidmat Rodriguez bersama Sri Pahang dilakukan secara pinjaman bersama Independiente Medellin musim ini.

"SPFC tidak boleh berbuat apa-apa kerana kelab Rodriguez mahu penyerang itu kembali bermain bersama kelab mereka.

"Bagi SPFC, kita berterima kasih kepada Rodriguez di atas komitmen yang diberikan biarpun bersama pada jendela perpindahan kedua pemain.

"Semoga Rodriguez cemerlang dan berjaya bersama kelabnya," kata Mohammed Suffian ketika diminta mengulas kedudukan Rodriguez bersama Sri Pahang musim depan.

Baru-baru ini, Rodriguez menerusi hantaran di media sosial mengumumkan tidak bersama skuad Tok Gajah musim 2023.

Penyerang itu mengucapkan selamat tinggal dan berterima kasih kepada pengurusan kelab dan peminat Sri Pahang yang banyak memberikan sokongan dna kepercayaan kepadanya.

Biarpun menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua pemain, Rodriguez membuktikan ketajaman di bahagian serangan.

Pada aksi Liga Super, penyerang import itu menjaringkan sembilan gol.

Bagaimanapun, nasib empat lagi pemain import iaitu Kevin Ingreso dari Filipina, Sherzod Fayziev (Uzbekistan), Mamadou Samassa (Mali) dan Manuel Hidalgo (Argentina) masih menjadi tanda tanya sama kekal atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 3:39 PM