FANDI serah kedudukan kepada kepimpinan SPFC.
FANDI serah kedudukan kepada kepimpinan SPFC.
Asrol Awang


Kuantan: Fandi Ahmad mengesahkan beliau belum pasti sama ada akan terus kekal bersama Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, segalanya terserah kepada kepimpinan tertinggi Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC).

"Alhamdulillah, bagi saya pemain musim ini sudah memberikan yang terbaik. Tetapi mereka perlu bekerja lebih keras bagi menghadapi saingan Liga M musim depan.

"Namun, setakat ini, saya tidak tahu kedudukan (ketua jurulatih) kerana terserah kepada bos (pemilik SPFC, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah)," katanya.

Dengan berbaki satu lagi perlawanan Liga Super, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima selepas mengutip 44 mata daripada 25 perlawanan.

Jika dilihat kepada kedudukan itu, Sri Pahang akan menamatkan kedudukan di kedudukan kelima memandangkan Sabah FC yang mengutip 51 mata berada di kedudukan keempat manakala Terengganu FC (TFC) keenam dengan 37 mata.

Perlawanan terakhir menyaksikan Sri Pahang bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 16 Disember ini, berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Jika skuad Tok Gajah menang, seri atau tewas, ia tidak mengubah kedudukan dalam saingan liga.

Musim lalu, skuad Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketujuh liga membabitkan 12 pasukan berbanding musim ini disertai 14 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 9:36 PM