LIVAKOVIC cetus keajaiban bawa Croatia ke suku akhir. -FOTO AFP
LIVAKOVIC cetus keajaiban bawa Croatia ke suku akhir. -FOTO AFP
AFP

Doha: Kapten pasukan Croatia, Luka Modric berkata pasukannya 'tidak boleh melakukannya tanpa drama' selepas mereka mara ke suku akhir Piala Dunia apabila menang menerusi penentuan sepakan penalti menentang Jepun awal pagi tadi.

Mario Pasalic meledak sepakan penalti selepas Dominic Livakovic menyelamatkan tiga penalti.

Terdahulu, Ivan Perisic menyamakan kedudukan buat Croatia pada minit ke-55 selepas Daizen Maeda mencetak gol pembukaan untuk Jepun sebelum rehat.

Namun keputusan 1-1 itu kekal sehingga 90 minit dan dalam masa tambahan.

"Nampaknya kami tidak boleh melakukannya tanpa drama," kata Modric yang pasukannya tewas di final 2018.

"Kami kini lebih gembira mara ke suku akhir."

"Ia satu perlawanan yang sukar menentang pasukan yang sukar."

Perlawanan di Qatar itu meneruskan kejayaan kebangkitan Croatia.

Tujuh dari lapan perlawanan kalah mati terakhir mereka di kejohanan utama dibawa hingga masa tambahan, satu-satunya perlawanan tanpa masa tambahan adalah ketika kekalahan kepada Perancis di Russia empat tahun lalu.

Modric berkata Croatia tidak beraksi pada tahap terbaik mereka tapi berjaya menemui jalan kemenangan.

"Kami kembali dalam karektor apabila kami bangkit daripada ketinggalan. Livi (Livakovic) melakukan keajaiban hari ini. Perlawanan yang sangat sukar dan meletihkan."

Jurulatih Zlatko Dalic berkata mara ke peringkat lapan terakhir adalah "perkara utama."

Kemenangan itu akan menyaksikan Croatia berdepan Brazil pada aksi suku akhir. -

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 7:53 AM