ZACCAGNI meraikan jaringan penyamaan Itali. FOTO Reuters
ZACCAGNI meraikan jaringan penyamaan Itali. FOTO Reuters
Reuters

Leipzig, Jerman: Mattia Zaccagni menyelamatkan Itali selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-98 sekali gus membolehkan juara bertahan seri 1-1 dengan Croatia dan mara ke peringkat 16 terakhir Euro 2024, awal pagi tadi.

Luka Modric meletakkan Croatia di depan pada minit ke-55 beberapa saat selepas penalti pemain berusia 38 tahun itu diselamatkan penjaga gol Itali Gianluigi Donnarumma.

Namun pemain gantian Zaccagni menjaringkan gol penyamaan menakjubkan menerusi rembatan ke penjuru gawang yang melepasi jangkauan penjaga gol Dominik Livakovic.

Keputusan itu menyaksikan Itali meraih empat mata dan akan berdepan Switzerland yang menduduki tangga kedua Kumpulan B manakala Croatia perlu menunggu sama ada dua mata dimiliki mencukupi untuk mereka layak ke peringkat kalah mati.

"Kami berhak mara selepas yang kami pamerkan malam ini," kata jurulatih Itali Luciano Spalletti. "Kami terpaksa bekerja keras daIam kumpulan sukar ini. Sepanyol cemerlang, begitu juga Croatia."

Sepanyol yang menduduki tangga teratas menewaskan Albania 1-0 untuk mengekalkan rekod sempurna daripada tiga perlawanan dan meninggalkan Albania yang sudah pun tersingkir di tangga terbawah dengan satu mata.

Dalam perlawanan di Red Bull Arena, Croatia kurang mengancam benteng Itali pada 20 minit pertama dengan hanya rembatan jarak jauh Luka Sucic mencemaskan penjaga gol Itali Gianluigi Donnarumma.

Itali yang lebih kerap mengasak tetapi Mateo Retegui terlepas beberapa peluang sebelum Alessandro Bastoni hampir meletakkan pasukannya di depan selepas tandukannya diselamatkan Livakovic.

Babak kedua menyaksikan Croatia lebih garang dan memperoleh penalti selepas rembatan Andrej Kramaric terkena lengan pemain gantian Davide Frattesi. Namun sepakan rendah Modric diselamatkan Donnarumma.

Beberapa saat kemudian, tandukan pemain gantian Ante Budimir ditampan Donnarumma tetapi bola muntah disudahkan dengan rembatan oleh Modric untuk gol pendahuluan Croatia sekali gus pemain paling tua menjaringkan gol dalam sejarah kejohanan pada usia 38 tahun 289 hari.

Bagaimanapun, ketika penyokong Croatia sudah mula berpesta, Zaccagni meranapkan impian mereka dengan jaringan penyamaan saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 6:43 AM