PENJAGA gol Itali Gianluigi Donnarumma berpelukan dengan Modric selepas tamat perlawanan.
PENJAGA gol Itali Gianluigi Donnarumma berpelukan dengan Modric selepas tamat perlawanan.
Reuters

Leipzig, Jerman: Kapten Croatia Luka Modric berkata, dia berharap dapat terus beraksi walaupun pasukannya kini hampir pasti tersingkir daripada Kejohanan Eropah selepas dibolosi gol saat akhir ketika seri 1-1 dengan Itali, awal pagi tadi.

Modric pemenang Ballon d'Or 2018 ketika Croatia mara ke final Piala Dunia di Moscow, meletakkan pasukannya di depan beberapa saat selepas penaltinya diselamatkan.

Namun, pemain Itali Mattia Zaccagni menyamakan kedudukan dengan rembatan lencung menakjubkan pada minit akhir masa tambahan.

Keputusan seri itu melayakkan Itali ke peringkat 16 terakhir manakala Croatia di tangga ketiga dengan hanya dua mata sekali gus tidak cukup untuk mara selaku antara empat pasukan tangga ketiga terbaik.

Walaupun kecewa, Modric berhasrat mahu meneruskan kariernya yang tampil 178 aksi antarabangsa sejak kali pertama pada 2006.

"Saya mahu terus bermain sehingga sampai masa untuk gantung but. Tetapi saya tak tahu berapa lama boleh beraksi," kata pemain berusia 38 tahun itu kepada wartawan.

Mengenai perlawanan dengan Itali, Modric berkata. "Perlawanan yang sangat tertekan. Kami berjuang sehingga tamat. Malangnya bola sepak tak mengenal simpati.

"Nasib tak menyebelahi kami malam ini tetapi juga pada aksi terakhir (seri 2-2 dengan Albania) apabila melepaskan gol saat akhir.

"Tetapi ia sebahagian daripada bola sepak. Ada kalanya anda gembira tetapi kemudian boleh menjadi duka. Sangat mengecewakan tewas seperti ini dan sukar dijelaskan. Sudah tentu kami perlu bangkit," tambah Modric lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:56 AM