ARGENTINA mendapat sepakan penalti selepas Livakovic (tengah) dikatakan mengasari Alvarez (kanan). FOTO AP
ARGENTINA mendapat sepakan penalti selepas Livakovic (tengah) dikatakan mengasari Alvarez (kanan). FOTO AP
Agensi

Doha: Luka Modric 'menghentam' pengadil dari Itali, Daniele Orsato kerana prestasinya ketika Croatia tewas kepada Argentina di separuh akhir Piala Dunia, awal pagi tadi.

Finalis edisi 2018 itu tersingkir akibat tewas 0-3, tetapi keputusan pengadil memberikan sepakan penalti untuk Argentina menjaringkan gol pertama pada babak pertama menjadi perdebatan panas.

Penjaga gol Croatia, Dominic Livakovic meluru ke arah penyerang Manchester City, Julian Alvarez dan bertembung dengannya, walaupun pengulas ITV termasuk Gary Neville mendakwa penjaga gol itu tidak dapat mengelak dan tidak bernasib baik menghadiahkan penalti kepada lawan.

Modric berkata: "Saya tidak suka bercakap mengenai pengadil, tetapi yang ini paling teruk. Saya tiada kenangan indah bersamanya, dia adalah malapetaka. Bagi saya, itu bukan sepakan penalti.

"Ini bukan bermakna saya memandang rendah kepada Argentina. Sepakan penalti itu membunuh kami. Kami perlu bangkit untuk menang perlawanan dan menduduki tempat ketiga."

Pemain bintang Real Madrid itu berkata: "Argentina adalah pemenang yang adil untuk perlawanan ini, mereka lebih baik dan berhak menang, tetapi ada perkara lain yang perlu disebut.

"Saya biasanya tidak bercakap mengenai perkara itu, tetapi hari ini terpaksa bercakap mengenainya."

Bukan Modric saja pemain Croatia yang tidak puas hati dengan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti itu kepada Argentina.

Pemain tengah Chelsea, Mateo Kovacic berkata: "Kami kalah kerana satu sepakan penalti, tetapi itulah yang berlaku.

"Dua situasi itu nampak luar biasa bagi saya. Pertama, pengadil tidak memberikan sepakan penjuru kepada kami dan kemudian, menghadiahkan sepakan penalti itu.

"Saya tidak pernah bercakap mengenai pengadil, tetapi ada kesilapan besar dilakukan dan menyebabkan kami kalah."

Sebelum Lionel Messi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-34 itu, Croatia kelihatan selesa menguasai perlawanan dan mengemudi jentera tengah, tetapi tidak banyak mencipta peluang.

Lima minit selepas jaringan Messi itu, Alvarez merobek benteng Croatia menerusi serangan balas pantas dan menjaringkan gol kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 10:42 PM