FUELLKRUG (kanan) ketika cuba untuk menewaskan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon. FOTO EPA
FUELLKRUG (kanan) ketika cuba untuk menewaskan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon. FOTO EPA
AFP

Doha: Gol di minit akhir oleh pemain gantian, Niclas Fuellkrug membolehkan Jerman mencatatkan keputusan seri menentang Sepanyol tatkala juara empat kali itu berjaya menghidupkan peluang mereka dalam saingan Piala Dunia kali ini.

Sebelum itu Costa Rica melakar kemenangan mengejutkan ke atas Jepun.

Jaringan Keysher Fuller pada minit ke-81 buat Costa Rica di Stadium Ahmad Bin Ali Stadium meredakan sedikit tekanan Jerman kerana ia menghalang Jepun daripada mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.

Pasukan bimbingan Hansi Flick bagaimanapun sangat memerlukan sesuatu daripada pertemuan mereka dengan pemenang 2010, Sepanyol di Stadium Al Bayt di Al Khor, utara Doha, selepas tewas 1-2 kepada Jepun dalam aksi pembukaan Kumpulan E.

Mereka berdepan masalah besar apabila pemain gantian, Alvaro Morata menyempurnakan hantaran lintang Jordi Alba untuk meletakkan Sepanyol di depan selepas aksi berlangsung selama sejam.

Bagaimanapun, Jerman yang menyaksikan jaringan Antonio Ruediger dibatalkan kerana ofsaid pada separuh masa pertama, harus berterima kasih kepada pemain gantian dari Werder Bremen, Fuellkrug apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-83.

"Kami masih lagi mempunyai ruang untuk diperbaiki tapi kami berharap semuanya berjalan dengan sempurna pada aksi terakhir peringkat kumpulan," kata Fuellkrug.

Pasukannya masih lagi berada di kedudukan terakhir Kumpulan E dengan mengutip satu mata, manakala Jepun dan Costa Rica masing-masing mengumpul tiga mata dan Sepanyol di tangga teratas hasil pungutan empat mata.

Bagi mengelak tersingkir di peringkat kumpulan kali kedua berturut-turut, Jerman harus menang aksi terakhir menentang Costa Rica Jumaat ini dan berharap Sepanyol tidak kalah di tangan Jepun.

Sepanyol sudah pasti akan layak jika hanya mengutip satu mata menentang Jepun, yang sekarang ini harus mencatat kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka ke peringkat seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 8:36 AM