Jurulatih Jerman, Hansi Flick. FOTO Reuters
Jurulatih Jerman, Hansi Flick. FOTO Reuters
Reuters

Al Rayyan: Jurulatih Jerman, Hansi Flick berkata dia tidak mempunyai perancangan untuk meletak jawatan jika juara dunia empat kali itu tersingkir awal dari Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut dalam kejohanan.

Flick yang mengambil alih tugas pengendali skuad itu tahun lalu selepas era Joachim Loew selama 15 tahun, menyaksikan pasukannya tewas pada perlawanan pembukaan Kumpulan E mereka kepada Jepun sebelum terselamat menerusi jaringan penyamaan lewat untuk keputusan seri 1-1 berdepan Sepanyol.

Skuad Jerman tersingkir pada pusingan pertama pada Piala Dunia 2018, ia adalah penyingkiran awal pertama mereka selepas lebih 80 tahun.

"Saya boleh mengesahkannya (saya akan terus kekal) bagi pihak saya tetapi saya mempunyai kontrak sehingga 2024 dan saya tidak sabar menanti aksi di laman sendiri saingan Eropah (pada 2024) tetapi sehingga itu ia mempunyai tempoh yang panjang," katanya.

Jerman akan menjadi tuan rumah Euro 2024.

Skuad Jerman berusaha memecah benteng dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka berdepan Costa Rica, memerlukan kemenangan untuk berpeluang ke peringkat kalah mati.

Kemenangan ke atas Costa Rica, yang tewas 7-0 pada perlawanan pembukaan mereka ke atas Sepanyol dapat mengubah nasib Jerman. Kemenangan Sepanyol ke atas Jepun dalam satu lagi aksi juga memberi peluang untuk mereka mara mengikut jejak Sepanyol.

Keputusan seri antara Sepanyol dan Jepun mahupun kemenangan buat wakil Asia itu perlu dikira melalui perbezaan gol untuk memastikan pasukan mana yang bakal ke pusingan berikutnya.

"Kami mahu mematikan perlawanan itu lebih awal untuk memberi tekanan kepada perlawanan satu lagi.

"Mereka (Costa Rica) seperti akan beraksi secara bertahan. Kami harus melakukan dan kami perlu mempunyai sikap yang ditunjukkan seperti berdepan Sepanyol." katanya.

Costa Rica mempunyai satu percubaan tepat dalam dua perlawanan awal mereka setakat ini malah ia sudah memadai untuk jaringan kemenangan menentang Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 2:35 AM