VICTOR serah kedudukan kepada pihak pengurusan KDA FC.
VICTOR serah kedudukan kepada pihak pengurusan KDA FC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas perjalanan skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC tersekat, pemangku ketua jurulatihnya, Victor Andrag menyerahkan sepenuhnya kedudukan beliau kepada pihak pengurusan kelab, bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Menurut Victor, setakat ini beliau belum menerima sebarang tawaran daripada pihak kelab untuk meneruskan tugas selaku pengendali skuad Hijau Kuning bagi musim depan.

"Setakat ini belum ada perbincangan atau apa-apa tawaran daripada pihak kelab mengenai tugas sebagai ketua jurulatih pasukan dan perkara itu terserah kepada pihak pengurusan menentukannya.

"Jika diberi kepercayaan, saya boleh teruskan tugas ini atau membantu membina pasukan kerana dari segi rekod, saya sejak dulu lagi, memang tidak pernah keluar daripada Kedah.

"Namun begitu adalah sedia maklum saya sedang belajar mendapatkan lesen yang mana kursus ini akan tamat pada April tahun depan, jadi saya fikir mungkin pihak kelab perlu melantik jurulatih lain terlebih dulu bagi mengendalikan pasukan untuk persiapan menghadapi musim depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan masa depannya selepas berakhir perlawanan pusingan kedua Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Dalam perlawanan penentuan itu, Negeri Sembilan FC (NSFC) terikat seri tanpa jaringan dengan Kedah, namun skuad Hobin Jang Hobin layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia hasil kemenangan, 2-1 yang mereka capai pada perlawanan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 22 Oktober lalu.

Mengulas lanjut perlawanan itu, Victor yang juga bekas pemain Kedah berkata, pihaknya tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya apabila mereka menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 1:38 PM