VICTOR puas hati prestasi pemain biarpun ketiadaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain. -FOTO Syaharim Abidin
VICTOR puas hati prestasi pemain biarpun ketiadaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain. -FOTO Syaharim Abidin
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Penolong Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Victor Andrag tetap yakin aksi Sang Kenari mampu terus ditingkat lagi selepas mendapat momentum kemenangan 3-0 ke atas Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Tiga gol terhasil pada perlawanan semalam menyaksikan dua gol disumbangkan oleh pemain import Amirbek Juraboev manakala satu gol lagi oleh penyerang utama Willian Lira sudah cukup menceriakan Victor yang mengambil tugas sementara menggantikan Ketua Jurulatih Nafuzi Zain di atas padang.

Meskipun ketiadaan Nafuzi yang difahamkan sedang menjalani penggantungan kad merah sebanyak tiga perlawanan bermula dengan perlawanan menentang Perak FC semalam, bekas kapten Kedah pada era 'Double Treble' itu tetap optimis perancangan yang dipersiapkan Nafuzi sebelum perlawanan mampu diterjemahkan dengan baik oleh pemain.

"Ketiadaan Nafuzi mungkin sedikit sebanyak akan mengganggu momentum dalam beberapa perlawanan akan datang, namun saya tetap yakin bahawa setiap pemain faham dengan peranan dan tanggungjawab.

"Jadi dengan perancangan waktu latihan oleh Nafuzi nanti akan saya cuba terjemahkan pada hari perlawanan seperti mana pada perlawanan ini.

"Selain itu, saya dapati semua pemain juga telah faham apa kehendak ketua jurulatih dan itu memudahkan saya untuk menyambung apa yang dirancangkannya sewaktu beraksi," katanya.

Menyentuh mengenai aksi kemenangan ini, Victor berkata pihaknya berpuas hati dengan tahap permainan yang ditunjukkan dengan mencapai sasaran tiga mata yang membolehkan Kedah mengukuhkan kedudukannya di kelompok pasukan atasan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 12:48 PM