AIDIL (empat dari kanan) setiap hari berbincang dengan Victor mengenai taktikal perlawanan. FOTO/NSTP
AIDIL (empat dari kanan) setiap hari berbincang dengan Victor mengenai taktikal perlawanan. FOTO/NSTP
Izzali Ismail


PENOLONG Ketua Jurulatih Kedah Victor Andrag tetap akan merujuk kepada ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak dalam usaha mencari formula kejayaan yang diperlukan skuad Lang Merah dalam aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Darul Aman malam ini.

"Sebagai penolong ketua jurulatih, saya perlu mendapatkan nasihat serta kata-kata azimat daripada Aidil Sharin sebelum membuat keputusan yang berkesan pada perlawanan nanti,” katanya.

"Kita tahu ini perlawanan kalah mati dan kita akan ambil seruis dalam semua perancangan yang kita akan lakukan demi memastikan kejayaan pasukan.

"Setiap hari saya berkomunikasi dengan beliau (Aidil) bagi membincangkan corak latihan, taktikal, laporan dan perkembangan semasa untuk mencapai keputusan terbaik yang akan dibuat untuk kejayaan pasukan dalam saingan kali ini."

Victor yakin keyakinan pemain semakin meningkat berikutan motivasi kemenangan yang diperolehi Kedah pada aksi Liga Super Jumaat lalu.

"Selepas pemain bangkit dari suasana yang kurang selesa ketika berdepan Selangor United sebelum ini dan kembali dengan tahap prestasi yang terbaik kini, saya mahu mereka teruskan momentum serta rentak kejayaan yang diperolehi dengan mencipta kemenangan,” katanya.

"Saya berharap pemain yang kini bersemangat dapat terus menunjukkan sikap atau 'attitude' terbaik mereka diatas padang dengan berjuang habis-habisan sepanjang tempoh perlawanan.

"Walaupun kita memiliki rekod kemenangan 2-0 keatas mereka (PJ City) sebelum ini, itu tidak boleh dijadikan sandaran kerana perlawanan itu dalam Liga Super sudah berlalu dan kini kami berada di laluan Piala FA yang berbeza dari segi cabarannya.

"Kami akan berhadapan dengan sebuah pasukan yang bagus yang mampu beraksi sebagai sebuah pasukan dan bukan bertindak secara individu."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 11:46 AM