Aidil Sharin (berdiri kiri) bersama pemain Kedah ketika menjalani latihan. FOTO File NSTP.
Aidil Sharin (berdiri kiri) bersama pemain Kedah ketika menjalani latihan. FOTO File NSTP.
Izzali Ismail


PENOLONG Ketua Jurulatih Kedah, Victor Andrag bakal menggalas tugas penting dalam misi memburu tiga mata pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Jumaat ini.

Ia berikutan ketiadaan ketua jurulatih Aidil Sharin Shahak yang kini mengikuti Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 dengan modul pertama yang berlangsung selama 11 hari bermula 7 hingga 17 April ini di Kuala Lumpur.

Jika dilihat pada tempoh berkenaan, bermakna Victor juga bakal mengendalikan satu lagi perlawanan penting di kala 'ketiadaan' Aidil termasuk pada aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Petaling Jaya City FC di Stadium Darul Aman pada 16 April ini.

Menurut Aidil, Victor adalah bekas Ketua Jurulatih skuad Piala Presiden Kedah musim lalu akan berperanan mengendalikan skuad Lang Merah untuk dua perlawanan seterusnya sepanjang tempoh beliau menjalani kursus yang bermula sehari selepas perlawanan Kuala Lumpur menentang Kedah di Stadium Kuala Lumpur Cheras, Sabtu lalu.

Victor Andrag.
Victor Andrag.

"Saya yakin beliau (Victor) dan barisan kejurulatihan sedia ada akan melakukan tugas mereka dengan baik dan berkesan berdasarkan persefahaman yang telah kita terapkan ke dalam pasukan selama ini."

"Bersandarkan perancangan untuk memburu kemenangan, saya akan terus berkomunikasi dengan Victor bagi melancarkan strategi yang akan diaturkan nanti," katanya.

Kedah kini memburu tiga mata penuh dalam aksi seterusnya bertemu Terengganu FC selepas gagal berbuat demikian dalam empat perlawanan sebelum ini dan jika dilihat pada rekod, kali terakhir Kedah mencapai kemenangan adalah ketika menewaskan PJ City 2-0 pada 22 Februari lalu.

Kedah kini di tangga ketiga mengumpul 12 mata, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) dan enam mata di bawah Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:51 PM