HAMPIR 1,000 penyokong Kedah berkumpul di hadapan Stadium Darul Aman sebaik tamat perlawanan KDA FC menentang PDRM FC bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan perlawanan semalam. FOTO Izzali Ismail
HAMPIR 1,000 penyokong Kedah berkumpul di hadapan Stadium Darul Aman sebaik tamat perlawanan KDA FC menentang PDRM FC bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan perlawanan semalam. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Penolong ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag menyifatkan insiden panas dua kad merah yang dilayangkan antara punca Sang Kenari tertekan dan seterusnya tewas 0-1 kepada PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.

Pada perlawanan itu, Sang Kenari menerima impak duka berganda apabila ketua pasukan, Manuel Ott dan juga ketua jurulatih, Nafuzi Zain dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mohd Azizan Saat Aiffin.

Ott dilayangkan kad merah pada minit ke-59 setelah didapati mengasari pemain tengah PDRM FC, Fadi Mahmoud yang dilihat cuba melambatkan permainan dalam tempoh keadaan bola mati sementara Nafuzi Zain pula turut dilayangkan kad merah pada minit ke-70 berkaitan reaksinya terhadap pengadil keempat.

Reaksi dari hukuman yang diterima Sang Kenari itu menyebabkan suasana perlawanan menjadi lebih tertekan dan akhirnya mereka dibolosi satu gol pada minit ke-74 oleh pemain import PDRM FC, Bruno Suzuki.

Andrag yang hadir ke sidang media mewakili Nafuzi meluahkan rasa kecewa dengan insiden yang berlaku kerana ia meruntuhkan semangat pemainnya untuk bangkit hingga ke hujung perlawanan.

"Jika seseorang dikenakan kad merah dalam perlawanan, ia akan memberi kesan yang besar dalam pasukan tambahan pula ketua pasukan dan juga ketua jurulatih dikenakan kad merah, maka pemain sudah pasti tak dapat kawal perasaan disebabkan insiden yang berlaku dalam padang.

"Emosi juga mungkin salah satu punca Kedah tidak dapat bangkit kerana impian kita terlalu tinggi untuk mendapatkan gol sebab kita beraksi di laman sendiri dan kita cuba sedaya upaya mencari ruang menjaringkan gol, mendahului perlawanan dan menambah mata. Ini menyebabkan usaha pemain untuk bangkit menjadi tidak teratur pada perlawanan ini.

"Saya harap ia dapat dijadikan pengajaran dan bergerak ke depan untuk bangkit pada perlawanan seterusnya," katanya.

Victor bagaimanapun enggan memberi sebarang komennya mengenai mutu pengadilan melibatkan perlawanan yang telah menjadi tegang dan tertekan buat Sang Kenari itu.

Menyentuh mengenai babak pertama perlawanan beliau turut mengakui PDRM FC memberi saingan yang sengit buat Sang Kenari sebaik perlawanan bermula.

"Kami tidak bermain seperti mana yang dirancang dan saya rasa tidak mahu bercakap banyak mengenai insiden perlawanan ini. Harap kami segera bangkit untuk menghadapi perlawanan akan datang.

"Saya lihat pemain sudah beri aksi terbaik mereka hingga ke hujung perlawanan dan walaupun kami beraksi dengan sembilan pemain tetapi dari segi mutu permainan saya masih perlu memuji mereka," katanya.

Sebaik selesai perlawanan semalam hampir 1,000 penyokong Sang Kenari berkumpul beramai-ramai di depan pintu masuk utama Stadium Darul Aman bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan dan insiden dua kad merah yang diterima pemain dan ketua jurulatih semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 10:10 AM