PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah (dua dari kanan) menjaringkan gol untuk menewaskan Manchester City, 1-0 di Anfield, Ahad lalu. FOTO AP
PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah (dua dari kanan) menjaringkan gol untuk menewaskan Manchester City, 1-0 di Anfield, Ahad lalu. FOTO AP
AFP

London: Kekalahan pertama Manchester City pada musim ini, Ahad lalu, memberi harapan kepada pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) bahawa perebutan gelaran masih terbuka, pada ketika Tottenham dan Chelsea berusaha merapatkan diri dengan pasukan teratas liga, awal pagi Khamis ini.

Kehadiran penyerang, Erling Haaland yang jelas berada dalam kelas tersendiri mengukuhkan skuad Pep Guardiola, yang menang empat gelaran EPL dalam lima musim terakhir, sekali gus menjadikan City pasukan pilihan untuk muncul juara sekali lagi.

Bagaimanapun, Arsenal yang berwajah baru kini memiliki kelebihan empat mata di tangga teratas liga manakala Spurs semakin menghampiri juara bertahan itu.

Arsenal dan City sepatutnya bertarung awal pagi Khamis ini, tetapi perlawanan itu ditangguhkan berikutan penjadualan semula susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, bulan lalu, apabila Gunners sebaliknya berdepan PSV Eindhoven pada aksi Liga Europa, awal pagi Jumaat.

Apabila dua pasukan teratas itu tidak bertarung, Tottenham boleh merapatkan jurang dengan satu mata jika menang di Manchester United pada awal pagi Khamis.

Spurs tidak menang gelaran liga dalam tempoh 61 tahun, tetapi pengurus mereka, Antonio Conte merangkul gelaran liga bersama tiga kelab berbeza sebelum ini iaitu Juventus, Chelsea dan Inter Milan.

"Kami mula menunjukkan kestabilan. Saya selalu katakan, bukan mudah apabila bermain menentang kami," kata Conte.

"Kami perlu bekerja dan meningkat, tetapi sebagai satu pasukan saya anggap kami memang kuat.

"Jika kami terus meningkat dan berkembang dalam aspek lain, bukan saja taktikal malah menunjukkan kematangan, kemudian kami akan mendapat kepuasan hebat."

Kekuatan skuad Tottenham akan teruji berikutan kecederaan Dejan Kulusevski dan Richarlison di bahagian serangan.

Tetapi, Harry Kane mampu memikul beban itu apabila kapten England itu kini menjaringkan sembilan gol daripada 10 aksi liga dan mengekori Haaland bagi perebutan Kasut Emas.

Chelsea pula kelihatan terlepas peluang mencabar gelaran apabila kalah dua kali daripada lima perlawanan awal di bawah kendalian Thomas Tuchel.

Tetapi, Graham Potter yang menggantikan Tuchel sebagai pengurus pada September, merancang perubahan bagi the Blues dengan lima kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan kembali berada dalam landasan tepat di EPL serta Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 1:00 PM