SPURS mahu buktikan mereka mampu mencabar City dan Liverpool musim ini. FOTO EPA
SPURS mahu buktikan mereka mampu mencabar City dan Liverpool musim ini. FOTO EPA
AFP

Manchester: Tottenham berjaya menepati ramalan di pramusim bahawa mereka boleh mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan menduduki tangga teratas hujung minggu lalu pada aksi pembukaan.

Bagaimanapun, mereka bakal berdepan ujian sebenar apabila berkunjung ke tempat lawan menentang Chelsea Ahad ini.

Antonio Conte mendapat banyak sokongan dalam musim pertamanya sebagai bos Spurs dengan pembelian Richarlison, Yves Bissouma, Ivan Perisic, Djed Spence, Clement Lenglet dan Fraser Forster.

Tetapi tiada seorang pun daripada enam muka baharu itu diletakkan dalam kesebelasan utama ketika mencatat kemenangan mengagumkan 4-1 ke atas Southampton.

Bagaimanapun, Spurs hanya menang sekali dalam perlawanan liga di Stamford Bridge selepas tempoh 32 tahun dan jika menewaskan The Blues akan memberikan amaran awal bahawa mereka boleh merapatkan jurang dengan Manchester City dan Liverpool.

Chelsea juga memulakan liga dengan mencatat kemenangan tetapi kurang meriah kerana mereka memerlukan penalti Jorginho untuk menewaskan Everton 1-0.

Thomas Tuchel mengharapkan peningkatan daripada anak buahnya hujung minggu ini selepas berdepan gelora 2022 yang menyaksikan kelab itu mengalami sekatan sebelum Todd Boehly mengambil alih daripada Roman Abramovich.

Pemilik dari Amerika Syarikat itu tidak berputus asa untuk menyokong Tuchel dengan pembelian Raheem Sterling, Kalidou Koulibaly, Marc Cucurella dan Carney Chukwuemeka.

"Anda lihat Chelsea dalam beberapa tahun kebelakangan ini, empat atau lima perlawanan akhir sudah mereka lalui.

"Ia adalah pasukan yang menunjukkan bahawa mereka bersaing dan mereka hanya akan menjadi lebih baik. Berbanding dengan pemilikan baharu dan pengambilalihan, ia sangat masuk akal," kata Sterling.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:28 AM