CONTE pakar taktikal. Gambar kecil, Guardiola. FOTO Reuters
CONTE pakar taktikal. Gambar kecil, Guardiola. FOTO Reuters
Reuters

London: Antonio Conte adalah pakar taktikal dan pengendali Chelsea itu berjaya mengubah corak permainan kelab-kelab di Liga Perdana Inggeris, menurut rakan sejawatannya di Manchester City, Pep Guardiola.

Conte memenangi gelaran Liga Perdana pada musim pertamanya di England tahun lalu tetapi kelab London itu kini bergelut di tangga kelima, 22 mata di belakang pendahulu, City.

Chelsea juga ketinggalan dua mata di belakang Tottenham Hotspur dalam perebutan kelompok empat teratas yang menjanjikan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Saya rasa Conte akan meninggalkan sesuatu kepada bola sepak Inggeris. Itu amat pasti,” kata Guardiola menjelang pertemuannya dengan penyandang juara itu di Stadium Etihad malam ini.

Skuad kendalian Guardiola turun dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Arsenal 3-0 Khamis lalu, manakala Chelsea tewas 2-1 kepada Manchester United di Old Traffod pada Ahad.

Conte yang membawa Itali ke suku akhir Euro 2016 sebelum menyertai Chelsea penghujung tahun berkenaan, dikatakan bakal meninggalkan Stamford Bridge selepas mengkritik polisi perpindahan kelab musim ini.

Guardiola bagaimanapun merasakan bekas bos Juventus itu sudah membuktikan kemampuannya dalam bola sepak Inggeris.

“Apa yang Conte lakukan di sini dalam Liga Perdana, mungkin tidak ramai yang menyedarinya,” kata bekas pengendali Barcelona itu.

“Beliau memperkenalkan cara lain untuk menyerang dengan lima pemain di benteng, sistem berbeza. Banyak pasukan, termasuk Arsenal, berusaha untuk mengikutinya.

“Secara taktikal beliau adalah pakar. Beliau melakukannya dengan cemerlang bersama skuad Itali dan ketika di Turin.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 5:58 AM