PENGURUS City, Pep Guardiola (kiri) meraikan jaringan Haaland. FOTO AFP
PENGURUS City, Pep Guardiola (kiri) meraikan jaringan Haaland. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester City memerlukan penalti Erling Haaland 12 minit sebelum tamat perlawanan untuk menewaskan Crystal Palace 1-0, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan City hanya ketinggalan dua mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal yang akan berkunjung ke Fulham, malam ini.

Anak buah Pep Guardiola mendominasi hampir sepanjang 94 minit permainan di Selhurst Park namun mereka hampir tergugat dalam memburu kejuaraan liga sehinggalah Ilkay Gundogan dikasari oleh Michael Olise dalam kotak penalti.

Haaland kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti sekali gus gol peribadi ke-34 miliknya musim ini.

"Saya menikmatinya, ini adalah England, inilah yang saya tonton sepanjang hidup saya.

"Saya menikmati setiap detik ketika beraksi," kata Haaland yang memburu kejuaraan EPL pertamanya bersama City.

Sementara itu, Harry Kane menamatkan minggu yang sukar untuk Tottenham apabila cemerlang menjaringkan dua gol ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Nottingham Forest.

Masa depan kapten England itu kembali mencetuskan spekulasi selepas Spurs tersingkir dari saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara dalam tempoh semingu.

Anak buah Antonio Conte gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan mereka sebelum ini, tetapi Kane menamatkan kemarau itu dengan menanduk masuk hantaran lintang Pedro Porro.

Kane kemudiannya dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti pertamanya sejak gagal menyempurnakan penalti penting pada aksi suku akhir Piala Dunia bertemu Perancis.

Richarlison menebus kritikan Conte terhadapnya apabila membantu Son Heung-min meledak gol ketiga Spurs.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 7:33 AM