ARTETA (kiri) dan Guardiola akan bertarung buat kali pertama musim ini di pusingan keempat Piala FA, malam esok. FOTO Reuters
ARTETA (kiri) dan Guardiola akan bertarung buat kali pertama musim ini di pusingan keempat Piala FA, malam esok. FOTO Reuters
AFP

London: Manchester City dan Arsenal boleh berehat seketika daripada perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu ini, tetapi sebaliknya mereka akan bertarung di pusingan keempat Piala FA di Stadium Etihad, malam esok.

Juara bertahan, Liverpool pula boleh membalas dendam susulan kekalahan di tangan Brighton pada aksi EPL sebelum ini, apabila kedua-dua pasukan bertarung lagi pada Ahad ini, manakala Harry Kane berpeluang muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Tottenham.

Mungkin tidak menjangkakan kebangkitan Arsenal pada aksi EPL, Manchester City berpeluang memperlahankan momentum pendahulu liga itu apabila kedua-dua pasukan bertemu buat kali pertama musim ini.

City kini ketinggalan lima mata di belakang Arsenal, yang memiliki kelebihan satu perlawanan, tetapi juara bertahan itu masih belum menentang Gunners dua kali dalam liga dan aksi Piala FA ini boleh menjadi pembayang kepada nasib mereka.

Arsenal berada di kemuncak prestasi selepas menewaskan Tottenham dan Manchester United dalam kempen EPL, manakala City bertindak balas selepas dikritik Pep Guardiola dengan membenam Tottenham dan Wolves.

"Ketika rehat perlawanan itu, Pep memberitahu kami apa yang dimahukannya dan apa yang tidak digemarinya. Kami tidak berada pada prestasi terbaik sebagai pemain dan perlu memperbetulkannya," kata bek tengah City, John Stones mengulas ketika mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 4-2 ke atas Tottenham.

Sebelum ini, Jurgen Klopp berkata, dia tidak ingat persembahan terburuk berbanding ketika Liverpool tewas 0-3 di tangan Brighton pada aksi EPL sebelum ini dan prestasi itu dianggap kapten, Jordan Henderson sebagai titik paling rendah pada musim yang lesu buat mereka.

Malah, boleh dikatakan kunjungan Liverpool ke Stadium Amex pada 14 Januari lalu adalah parut yang menyakitkan buat Klopp serta anak buahnya.

Tetapi, saingan Piala FA menawarkan peluang yang tidak disangkakan untuk memadamkan memori hitam dan kembali berada pada landasan perjuangan sebenar.

Liverpool kembali semula ke Brighton, Ahad ini, dengan kedudukan kesembilan EPL dan ketinggalan 10 mata di belakang kelompok empat pasukan teratas.

Harry Kane pula berpeluang muncul penjaring terbanyak Spurs apabila menentang Preston pada Sabtu selepas dia kini menyamai rekod jaringan Jimmy Greaves dengan 266 gol selepas menemui sasaran ketika menang 1-0 ke atas Fulham pada aksi EPL, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 10:06 AM