GAYA Darren Lok selepas menjaringkan gol PJ City. FOTO PJ City FC
GAYA Darren Lok selepas menjaringkan gol PJ City. FOTO PJ City FC
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kesilapan mudah diakui menjadi punca Melaka United (MU) sekadar seri 2-2 ketika berdepan PJ City pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam.

Pengendali skuad terbabit Mohd Asri Ninggal berkata, kesilapan membolehkan lawan menyamakan kedudukan dan kemudiannya mengatasi pasukan tuan rumah pada babak kedua namun semangat kental untuk bangkit tetap melegakan.

Namun katanya, seri lebih baik daripada tewas walaupun ia satu kerugian ketika peluang terhidang meraih mata maksimum seperti mampu menjadi kenyataan.

Menurutnya, kelemahan barisan pertahanan tetap diberi perhatian bagi memastikan pasukan mampu terus meningkatkan persembahan yang lebih mantap.

Baginya, ketiadaan pemain tengah Adriano Narcizo tetap dirasai kerana persembahan ketika mengatur gerakan dilihat kurang kreatif.

"Kurang kreativiti di bahagian tengah jelas memberi kesan dalam perlawanan malam ini. Apapun bukan alasan tanpa Adriano kerana pemain gantian juga harus memberi persembahanan terbaik.

"Sudah pasti kami tidak mahu bergantung kepada satu dua pemain, justeru semua pemain perlu meningkatkan keupayaan masing -masing ketika diberi tugasan, malah kesempatan buat mereka untuk menyerlah," katanya.

Sementara itu, jurulatih PJ City, P Maniam tetap bangga dengan persembahan pasukannya kerana berjaya memberikan komitmen tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan jaringan pertama tuan rumah dengan menyamakan kedudukan dan mendahului 2-1 buat satu ketika.

Katanya, kesilapan gagal mengekang penyerang berbahaya Melaka, Sony Norde membolehkan keputusan seri direkodkan walaupun peluang untuk meraih kemenangan hampir direalitikan.

Baginya, persembahan kedua-dua pasukan amat menghiburkan dengan serang balas menarik sementara anak buahnya tetap membentuk keyakinan walaupun tanpa import termasuk pemain gantian yang membuktikan kebolehan mereka selepas diberi peluang beraksi.

Gol-gol skuad Hang Tuah dalam perlawanan berkenaan dihasilkan menerusi Emmanuel Oti pada m-36 dan Sony Norde m-76, sementara PJ City menerusi Darren Lok m-44 dan K Gurusamy pada m-64 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 3:55 PM