NORDE (tengah) diasak pemain pasukan Kuala Lumpur City FC, Zhafri (kanan) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin
NORDE (tengah) diasak pemain pasukan Kuala Lumpur City FC, Zhafri (kanan) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang Melaka United FC, Sony Norde sedar dirinya sentiasa dianggap ancaman kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) melihat kepada kawalan ketat daripada pemain Bojan Hodan sepanjang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Isnin lalu.

Kelincahan Norde benar-benar memberi impak kepada pasukan untuk mencipta banyak peluang bagi memburu jaringan.

Bahkan, dia juga tidak menolak pergerakannya sentiasa dikawal rapi sambil menyifatkan KL City tidak memberi laluan mudah kepada mereka untuk menambah gol sehingga keputusan berakhir seri 1-1.

Bagaimanapun, pemain dari Haiti ini menganggap satu gol lawan yang diraih pasukan untuk dibawa ke Melaka masih belum cukup dan menjangkakan separuh akhir kedua pada Jumaat ini akan menjadi lebih sengit.

"Saya hanya cuba ingin membantu pasukan sebaik mungkin, tetapi Kuala Lumpur juga bermain dengan baik.

"Pada separuh masa pertama, akan ada dua pemain yang sentiasa dekat dengan saya untuk kawal pergerakan, jadi situasi agak sengit juga.

"Cuma saya rasa untuk aksi di Melaka nanti mungkin akan lebih senang untuk saya dan pemain lain bagi memastikan keputusan memihak kepada kami dan seterusnya ke final," katanya.

Pada aksi separuh akhir Isnin lalu, skuad Hang Tuah terlebih dulu mendahului menerusi sepakan percuma Adriano Narcizo pada minit kelapan sebelum Zhafri Yahya menyamakan kedudukan apabila menanduk masuk hantaran silang Paulo Josue di minit 26.

Mengikut format pertandingan, kelebihan gol tempat lawan akan diambil kira dan ini bermakna, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan hanya memerlukan keputusan seri tanpa jaringan untuk layak ke final Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah pasukan Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 5:54 PM