ANTARA aksi Melaka menentang PJ City. FOTO Melaka United
ANTARA aksi Melaka menentang PJ City. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) melangkah ke suku akhir piala FA selepas menewaskan PJ City 2-1 pada pusingan kedua di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, hari ini.

Walaupun tanpa khidmat import Filipina, Justin Bass yang masih cedera, namun skuad terbabit tidak berdepan masalah untuk mencipta kemenangan.

Malah tuan rumah lebih awal mempamerkan sentuhan garang mereka menerusi jaringan kapten pasukan, Sony Norde pada minit ke-11 perlawanan.

Gol terbabit berpunca daripada hantaran lintang Wan Amirul Afiq yang disambut Norde menerusi tolakan tepat ke dalam gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Persembahan lebih tersusun buat Melaka pada aksi berkenaan membolehkan mereka menguasai babak awal permainan dengan kerap memasuki kubu pasukan pelawat untuk melakukan percubaan.

Usaha Mohd Shukri Baharun melakukan percubaan pada minit ke-16 mudah diselamatkan Kalamullah begitu juga rembatan deras Emmanuel Oti gagal menewaskan penjaga gol terbabit.

Pelawat memberi cabaran untuk menyamakan kedudukan namun tandukan Darren Lok pada minit ke-35 sekadar mengeggar palang gol tuan rumah diikuti rembatan R Kogileswaran dua minit selepas itu tersasar ke kiri gawang Melaka.

Skuad Hang Tuah hampir menambah gol kedua mereka pada minit ke-45 namun rembatan Norde berjaya diselamatkan Zainal Abidin Jamil di muka gawang gol mereka selepas Kamullah sudah tertewas.

Babak kedua jurulatih PJ City, P Maniam membawa masuk Mahali Jasuli yang berjaya menghidupkan jentera pasukan skuad berkenaan bagi memberi saingan kepada tuan rumah.

Malah Mahali berjaya melakukan hantaran kepada Darren yang bijak menanduk masuk gol penyamaan PJ City pada minit ke -50 menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.

Namun jaringan terbabit membakar semangat pemain tuan rumah untuk memastikan mereka tidak tersingkir awal dari saingan selepas Andriano Narcizo berjaya menolak masuk gol kedua pasukannya.

Jaringan terbabit berpunca daripada hantaran jauh pemain gantian Wan Zaharulnizam Wan Zakaria kepada Adriano membolehkan pemain import Bazil terbabit menolak masuk gol berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 11:21 PM