PEMAIN Melaka United, Mohd Akmal Md Zahir (jersi hijau)  diasak pemain Kelantan United  di Stadium Hang Jebat. FOTO Bernama
PEMAIN Melaka United, Mohd Akmal Md Zahir (jersi hijau) diasak pemain Kelantan United di Stadium Hang Jebat. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan United 2-1 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Skuad Hang Tuah bermula garang menerusi percubaan Sony Norde pada minit ke-7 namun berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat Mohd Fitri Che Soh dan tuan rumah hampir mendahului lawan apabila tolakan Wan Zaharulnizam terkena tiang gol.

Asakan bertali arus Melaka akhirnya membuahkan hasil selepas hantaran Khairul Anwar Shahrudin mudah ditolak masuk Norde pada minit ke-25.

Namun pelawat tidak berputus dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Shuhei Fukai di penghujung babak pertama.

Babak kedua memperlihatkan anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan terus menggandakan asakan dan Adriano yang menerima hantaran K Kumahraan melebarkan jaringan pada minit ke-52 menerusi rembatan cantik ke kanan gawang Kelantan.

Kemenangan itu membolehkan Melaka United kekal di tangga teratas kumpulan C sekali gus layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 11:30 PM