NAZRULERWAN Makmor. -FOTO NSTP
NAZRULERWAN Makmor. -FOTO NSTP
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Kekalahan Melaka United (MU) kepada PJ City pada aksi pembukaan Liga Super membuatkan skuad terbabit lebih berwaspada berdepan lawan sama pada pusingan kedua liga terbabit d Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Rabu ini.

Penolong jurulatih MU, Nazrulerwan Makmor berkata, kekalahan perit terbabit jelas memberi pengajaran bermakna untuk memastikan pasukan mampu meraih mata maksimum.

Katanya, kecewa dengan kekalahan tipis 0-1 pada aksi di laman lawan itu jelas meletakkan skuad tanpa pemain import berkenaan tetap memiliki barisan mantap yang boleh memberi masalah jika ruang diberikan kepada mereka.

Bagaimanapun, kemenangan 2-1 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Hang Jebat ke atas lawan sama Mei lalu sekali gus mara ke suku pula menjadi suntikan motivasi kepada pemain untuk bertindak cemerlang.

Menurutnya, dua jaringan Melaka menerusi Sony Norde dan Adriano Narcizo dalam perlawanan itu memberi gambaran awal skuad Hang Tuah mampu mengulangi persembahan sama kali ini.

"Apapun, setiap perlawanan amat berbeza namun jika pemain mampu mengekalkan persembahan yang memberangsangkan seperti ketika mengikat JDT 1-1 dan mengatasi Selangor 2-0 bakal memberi keceriaan buat pasukan.

"Kekalkan momentum ketika menentang dua lawan terbabit. Itu yang kami harapkan kerana jika mampu ditampilkan tiada masalah untuk mencapai keputusan positif bagi meraih mata penuh," katanya.

Justeru, kelebihan beraksi di laman sendiri dilihat kesempatan untuk menggunakan ruang yang ada untuk terus memperbaiki kedudukan di carta liga.

Selepas 10 perlawanan buat kedua-dua pasukan, Melaka kini berada di tangga kelapan mengumpul 12 mata sementara PJ City di tangga kesembilan dengan 10 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 1:49 PM