GAYA S Kumaahran (tengah) meraikan jaringan ketika menentang  Negeri Sembilan FC. FOTO Syafeeq Ahmad
GAYA S Kumaahran (tengah) meraikan jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC. FOTO Syafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan mengakui pemainnya perlu tampil lebih garang walaupun menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat semalam.

Dalam masa sama dia memuji persembahan pasukannya yang bijak menggunakan kesempatan terhidang untuk meledak jaringan serta mempamerkan displin yang baik ketika bertahan.

Justeru, beliau menuntut anak buahnya terus mengekalkan momentum dan menampilkan prestasi lebih baik bagi berdepan perlawanan seterusnya dalam Kumpulan C.

Baginya, kemenangan semalam permulaan yang baik buat skuad Hang Tuah menjelang aksi berdepan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) Khamis ini di laman lawan.

"Kini fokus terarah berdepan skuad Hijau Kuning. Justeru kesemua pemain akan menjalani ujian kecergasan dalam tempoh terdekat bagi memastikan tahap kesediaan mereka termasuk jika terdapat kecederaan serius.

"Apa yang kami harapkan mereka mampu memfokuskan pertemuan itu dengan corak permainan lebih baik berbanding ketika menentang skuad Jang," katanya.

Beliau yang menyedari kekuatan Kedah menuntut komitmen tinggi daripada pemainnya ketika beraksi di laman lawan dan mahu pemainnya lebih kreatif mencipta peluang menerusi gandingan Sony Norde, Adriano dan Manuel Ott.

Melaka United menewaskan NSFC hasil rembatan padu Adriano dan tolakan cantik S Kumahraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 4:16 PM