ASRI kecewa MU catat keputusan seri. -FOTO Arkib
ASRI kecewa MU catat keputusan seri. -FOTO Arkib
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Pengendali Melaka United (MU) Mohd Asri Ninggal menganggap keputusan seri 2-2 ketika sudah mendahului Sri Pahang 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi sebagai malam mengecewakan buatnya.

Baginya, kelekaan pada penghujung babak menyebabkan lawan bangkit merapatkan jurang dan menyamakan kedudukan untuk mengikat skuad Hang Tuah yang seakan sudah mampu merekodkan kemenangan.

Katanya, kelekaan pada minit-minit akhir menyebabkan pasukannya terhukum untuk sekadar berkongsi mata walaupun peluang untuk meraih mata penuh seakan mampu menjadi kenyataan.

Menurutya, pada awalnya dia menjangkakan Pahang bermain lebih baik terutama prestasi menarik mereka dalam tiga perlawanan lalu, namun anak buahnya berjaya menguasai permainan tetapi kehilangan fokus akhirnya membawa padah.

"Kita perlu salahkan diri sendiri kerana kita bermain bagus tetapi leka pada minit akhir permainan. Ianya adalah malam yang mengecewakan bagi saya. Apapun kesilapan-kesilapan mudah yang menghukum pasukannya akan terus diperbaiki.

"Bagaimanapun saya tetap memuji aksi pemain walaupun tanpa kehadiran Sony Norde dan Ahmad Haziq dengan kesemua pemain bermain begitu baik sehingga pasukan tidak merasakan kehilangan mereka, tetapi hilang fokus pada minit akhir menyebabkan lawan merapatkan jurang dan menyamakan kedudukan," katanya.

Sehubungan itu, kelemahan saat akhir membenarkan lawan menjaringkan akan diberi perhatian tambahan aksi sukar berdepan Terengganu selepas ini.

Sementara itu, jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh pula berkata, persembahan pasukan dilihat serba tidak menjadi dengan pemain seolah lesu dan tidak bermaya, namun semangat pemain bangkit menyamakan kedudukan pada saat akhir amat dibanggakan.

Gol-gol kebangkitan Sri Pahang diterjemahkan menerusi David Rowley (m-87) dan Muhammad Shahrul Nizam Mohd Nadzir (m-90) selepas ketinggalan 2-0 menerusi jaringan import Melaka, Ifedayo Olusegun (m-38) dan Adriano Narcizo (m-51) bagi mencatatkan keputusan 2-2 pada aksi sepenuh perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 12:27 PM