KHALID Abdul Samad. FOTO NSTP
KHALID Abdul Samad. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Serahkan semula stadium kepada pihak berkepentingan seperti Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) atau kelab bola sepak Kuala Lumpur City FC (KL City).

Demikian penegasan Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad yang mendesak agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat 'mengambil semula' pegangan stadium dan menyerahkan kepada KLFA ataupun KL City FC.

Jelas Khalid, pihak swasta yang diamanahkan untuk menyelenggara venue berkenaan didapati gagal menunaikan tanggungjawab sebaiknya hingga menimbulkan beberapa masalah terutama ketika saingan Piala AFC baru-baru ini.

"Kita hadapi kesukaran apabila didapati penyelenggaraan stadium tidak seperti yang diinginkan pada saat akhir. Kita mendapat laporan bahawa padang dalam keadaan tidak memuaskan dan lampu limpah tidak mencapai piawaian ditetapkan (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Kita terpaksa bawa 'roller' sendiri untuk menyiapkan padang walaupun padang bukan bawah jagaan KLFA. Stadium ini sudah dipajak kepada satu syarikat swasta yang dahulu kononnya mahu jadi rakan kongsi KL City FC namun tidak berjaya.

"Mereka tidak menjalankan penyelenggaraan seperti yang sepatutnya dan kita yang terpaksa membaikinya walaupun tidak 100 peratus berada dalam keadaan yang memuaskan.

"Perlawanan Piala AFC di sini sepatutnya menjadi kebanggaan namun kita bertindak dengan cepat dan berjaya menyelamatkan satu keadaan yang berpotensi untuk memalukan negara," katanya pada sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, pihak swasta berkenaan dilihat seolah tidak serius sebaliknya hanya memikirkan soal perniagaan semata-mata dengan menjadikan venue berkenaan lokasi untuk mengaut keuntungan.

"Kita mahukan stadium dijaga dengan baik dan mencapai kualiti yang menepati srandard. Kita harap pajakan itu dapat dikaji semula dan DBKL melihat persoalan ini kerana pihak yang menjaga stadium ketika ini tiada kepentingan dan bukan pasukan bola sepak.

"Mereka hanya berniaga dan tidak mengambil berat terhadap persoalan ini, jadi kita ada banuak masalah.Kita harapkan DBKL dapat melihat perkara ini dan sama ada diuruskan oleh DBKL sendiri ataupun pada KLFA, lebih baik pada KL City FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 2:16 PM