STADIUM Bolasepak Kuala Lumpur. -FOTO Agensi
STADIUM Bolasepak Kuala Lumpur. -FOTO Agensi
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyelenggara Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Arcadin Services Sdn Bhd menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berhubung isu venue terbabit.

Khalid sebelum ini mendakwa pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) terpaksa 'merempat' berlatih di padang di Pudu Ulu selepas tidak dibenarkan menjalani latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.

Menerusi satu kenyataan media, Arcadin menegaskan pihaknya sudah membuat laporan polis mengenai dakwaan yang disifatkan berunsur fitnah itu.

"Segala dakwaan itu adalah tidak tepat dan berunsur fitnah dengan memberi laporan yang salah kepada pihak media bagi memberi tanggapan buruk ke atas pentadbiran Arcadin di dalam pengurusan stadium.

"Susulan dari itu, satu laporan polis di buat oleh pihak Arcadin pada 13 Julai 2022 ke atas tuduhan tuduhan itu oleh pihak KLFA. Pihak Arcadin menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Pengesahan pihak Arcadin itu sekali gus mengiyakan laporan Arena Metro Jumaat minggu lalu, yang turut disahkan Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar bahawa pihaknya ada menerima laporan terbabit.

Untuk rekod, Arcadin adalah syarikat pentadbir urus kompleks Stadium Bolasepak Kuala Lumpur yang bertanggungjawab di atas pengurusan dan penyelenggaraan aset-aset dan kemudahan-kemudahan kompleks stadium dan padang bola sepak sejak Julai 2021.

Arcadin mendapatkan hak pengurusan kompleks Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dari pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan matlamat untuk menyediakan kemudahan-kemudahan stadium yang terbaik untuk para pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 2:17 PM