KHALID (tengah) bersama-sama Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard (kanan) ketika sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
KHALID (tengah) bersama-sama Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard (kanan) ketika sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu padang latihan tidak sepatutnya dibangkitkan ketika sebuah kelab profesional yang berjaya seperti Kuala Lumpur City FC (KL City) seharusnya sudah wajib memiliki pusat latihan sendiri.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, sidang media dilakukan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad tidak wajar dan ia seolah-olah membuka kelemahan badan induk itu dan KL City sendiri dalam menguruskan pasukan profesional dalam saingan Liga Malaysia.

Pada sidang media semalam, Khalid mengakui KL City terpaksa menggunakan padang awam di Pudu Ulu yang nyata tidak sesuai buat pemain skuad The City Boys hingga boleh mengakibatkan kecederaan.

"Memang itu realiti (perlu ada pusat latihan sendiri). Kena cari venue latihan baik atau mungkin boleh berbincang dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk 'upgrade' padang di Pudu Ulu itu.

"Daripada buat sidang media, ia tidak akan mendatangkan kebaikan atau jalan. Sebaliknya ia menyalahkan pihak sana, pihak sini yang sebenarnya akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya kepada Arena Metro.

Apa yang diperkatakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu ada benarnya, apabila seharusnya sebuah kelab bola sepak profesional wajib mempunyai padang dan fasiliti sendiri bagi mengadakan latihan, sekali gus mengurangkan berlatih di stadium yang boleh mengganggu permukaan padang.

Malah, ujarnya, pendekatan diambil Khalid itu seolah-olah 'toksik' yang cuba diwujudkan dalam bola sepak negara dan ia perkara tidak baik.

"Paling baik KL City bukan buat sidang akhbar kerana itu isu dalaman dan melalui media takkan selesaikan masalah.

"Untuk selesaikannya, mereka kena bincang dengan DBKL kerana stadium itu hak DBKL bukan KL City.

"Adalah lebih baik berunding secara 'adik beradik' supaya dapat selesaikan dan tidak rosakkan imej atau prestij KL City sebagai juara Piala Malaysia (pemenang musim lalu).

"Rundingan antara orang di atas KLFA, KL City dan DBKL adalah lebih baik, disertai bersama Menteri Wilayah. Saya rasa bola sepak tak boleh dibawa hingga ke dalam konteks Dewan Rakyat. Ia tidak boleh kerana ia seperti wujud toksik dalam bola sepak negara," katanya.

Untuk rekod, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras kini diselenggara pihak swasta iaitu Arcadin Services Sdn Bhd dan difahamkan KL City mahu menggunakan venue itu untuk latihan berbanding padang di Pudu Ulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 8:27 PM