KHALID bercakap pada sidang media sebelum ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
KHALID bercakap pada sidang media sebelum ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City (KL City) FC tidak mahu hanya tangkap muat dalam melakukan persiapan pasukan dengan bersandarkan kepada bajet RM5 juta semata-mata.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad menegaskan mereka tidak boleh sekadar membentuk pasukan sebagai 'pelengkap jadual' kerana pasukan itu memiliki reputasi tersendiri yang perlu dipelihara.

Beliau berkata, mereka tetap mencari dana tambahan untuk memastikan pasukan itu terus beroperasi memandangkan pasukan itu memerlukan sekitar bajet RM14 juta semusim sedangkan mereka hanya mendapat dana RM6 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada musim lalu.

"Memang ada yang berpandangan kita harus ikut apa yang kita ada, kalau RM5 juta maka RM5 jutalah (bentuk pasukan) tetapi kalau kita buat begitu, kita akan korbankan kualiti bola sepak kita. Kita bersaing dengan pasukan atasan yang berbajet tinggi.

"Kita tahu pasukan lain mencecah puluhan juta jadi kita kena lihat kalau sekadar ada pasukan tetapi jadi pasukan tercorot, kita tidak ada kesungguhan dan komitmen untuk membentuk pasukan.

"Kita ambil ini sebagai cabaran dan kita dapat kekal bernyawa selama tiga tahun ini kerana kita sentiasa berusaha keras mencari duit. Kita letakkan sasaran iaitu RM14 juta adalah bajet yang munasabah.

"Dengan bajet itu, kita boleh bentuk pasukan yang bagus, jurulatih yang bagus dan dengan RM14 juta, kita dapat gegarkan Johor Darul Ta'zim (JDT). Kita satu-satunya pasukan yang kalahkan JDT dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut mengharapkan DBKL dapat 'memulangkan semula' Stadium Bolasepak Kuala Lumpur kepada KLFA sebagai inisiatif untuk menjana kewangan.

"Kita harap dapat balik stadium ini yang sebelum ini diserahkan kepada sebuah syarikat swasta tetapi gagal dan biar ia kembali seperti amalan sebelum ini.

"KLFA harap kita dapat menjaga stadium ini dengan baik dan cuba mendapatkan hasil yang walaupun tidak banyak tetapi sudah tentu dapat membantu kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:38 PM