PEMAIN Terengganu FC, ketika sesi latihan menjelang pertemuan dengan KL City FC malam esok. FOTO TFC
PEMAIN Terengganu FC, ketika sesi latihan menjelang pertemuan dengan KL City FC malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut pemainnya mempamer corak permainan terbaik apabila berdepan juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, malam esok.

Pengendali berusia 44 tahun kelahiran Kelantan itu berkata, beliau tidak mahu episod duka tewas pada dua aksi awal liga kepada Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 0-3 dan Johor Darul Ta`zim (JDT) 1-2 pada April lalu berulang kembali.

Justeru Nafuzi mengingatkan pemainnya bertarung bermati-matian lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri selain fokus mengutip tiga mata untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan liga.

"Saya menjangkakan saingan sengit bakal berlaku menentang juara Piala Malaysia musim lalu itu, ianya juga perlawanan yang sukar buat kami kerana lawan mempunyai pemain berkualiti di tambah pula pasukan kami berehat panjang daripada aksi perlawanan sebenar.

"Namun beraksi di tempat sendiri di depan ribuan peminat setia sudah pasti bakal menambah semangat para pemain untuk melakar keputusan yang positif.

"Jadi permulaan yang baik menjadi sasaran saya pada aksi kelima ini, harap impian ini menjadi kenyataan, kepada pemain pesanan saya mereka perlu berjuang habis-habisan agar tidak terjerat di tempat sendiri," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, dekat sini petang semalam.

Ketika ditanya mengenai tiga tonggak import iaitu Manuel Ott, Kpah Sherman dan Petrus Shetembi yang baharu kembali bersama pasukan selepas beraksi bersama negara masing-masing baru-baru ini, Nafuzi menjelaskan beliau sedikit risau dan bimbang mengenai isu kecergasan pemain berkenaan kerana terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh untuk kembali bersama pasukan.

"Situasi ini ditambah dengan beberapa pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) yang beraksi pada saingan Piala Asia di Uzbekistan baru-baru ini mengalami kecederaan, namun saya tidak mahu perkara berkenaan menghalang perancangan saya.

"Sebaliknya saya bakal menyenaraikan pemain terbaik dalam misi memburu kemenangan ketiga musim ini," katanya yang turut mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia skuad Penyu bagi menyemarakkan lagi semangat pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 4:42 PM