Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Beraksi bagaikan pentas final," demikian permintaan pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kepada anak buahnya yang bakal berdepan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Pengendali muda berusia 44 tahun itu juga menuntut pemainnya agar meledak gol seawal mungkin dengan mengelak daripada dibolosi pada aksi 'hidup mati' dalam misi melangkah ke pentas Asia musim depan.

Sekiranya TFC berjaya merakam kemenangan, tiket ke saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sudah pasti berada dalam genggaman skuad itu ketika dua lagi pasukan iaitu Sabah FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) juga bersaing untuk merebut dua slot ke Asia.

"Saya tuntut pemain beraksi ibarat perlawanan akhir untuk merebut trofi kerana keputusan dalam perlawanan itu nanti bakal menentukan sama ada kita layak ke AFC ataupun sebaliknya, jika kita menang, sudah pasti salah satu slot menjadi milik kita.

"Jadi bagi memastikan impian itu menjadi realiti, saya juga gesa pemain perlu kuatkan mental dan fizikal lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan di depan ribuan peminat mereka.

"Pemain perlu fokus sepanjang 90 minit perlawanan dengan mengetepikan dahulu masalah lain bagi merealisasikan misi itu sebagai hadiah buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di Gong Badak, petang semalam.

Nafuzi (tengah) ketika sesi latihan menjelang perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam. FOTO Ghazali Kori
Nafuzi (tengah) ketika sesi latihan menjelang perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam. FOTO Ghazali Kori

Ketika ditanya pemain yang perlu dikawal ketat, jurulatih kelahiran Kelantan itu akui pemain lawan cukup bahaya terutama jentera serangan mereka yang diketuai Wanja Ronald Ngah.

"Walaupun skuad Kenari gagal mengutip sebarang mata dalam empat aksi terakhirnya, namun barisan penyerang mereka begitu bahaya lebih-lebih lagi beraksi di stadium mereka, ini sudah pasti bakal memberi ancaman kepada kita.

"Lagipun rekod terdahulu tidak boleh dijadikan ukuran kerana pada aksi terakhir liga ini macam-macam boleh berlaku dengan masing-masing mempunyai misi yang tersendiri.

"Namun saya percaya dengan pemain yang bakal diturunkan nanti, rekod kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut sebelum ini selepas aksi final Piala FA September lalu bakal memberi motivasi terbaik kepada mereka untuk mengakhiri liga dengan noktah yang lebih manis, tambahan pula semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan," kata bekas penyerang Terengganu itu.

Naib juara Piala FA musim ini itu yang kini menghuni di tangga ketiga liga dengan mengumpul 41 mata hasil 21 perlawanan dijangka bakal menurunkan pemain sama ketika menumpaskan finalis Piala AFC musim ini, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Selasa lalu.

Jika TFC layak ke pentas Piala AFC musim depan, ianya bagaikan pengubat duka selepas aksi trofi itu pada musim lalu dibatalkan susulan wabak pandemik Covid-19 sekali gus menyaksikan skuad Penyu itu 'berputih mata' untuk membuat penampilan kedua di pentas Asia selepas kali pertama pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 3:40 PM