WISMA FAM di Kelana Jaya.
WISMA FAM di Kelana Jaya.
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumour: Dua siasatan membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan tidak mempunyai sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.

Siasatan agensi penguat kuasa itu adalah terhadap isu projek pembinaan National Training Center (NTC) di Putrajaya yang dianggar bernilai RM25 juta serta isu tohmahan kepimpinan dan pengurusan FAM sewaktu penganjuran kongres FAM ke-60.

Difahamkan, SPRM sudah menjalankan siasatan rapi berhubung kedua-dua isu yang dibangkitkan, sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan susulan.

"SPRM menjalankan siasatan ke atas isu rasuah di FAM yang membabitkan pelaksanaan projek NTC di Putrajaya bernilai hampir RM25 juta.

"Kos pembangunan projek ini menggunakan dana yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Selain itu, SPRM menyiasat tohmahan dan dakwaan rasuah dalam penganjuran kongres FAM yang ke-60.

"Hasil siasatan terhadap dua isu ini sudah diselesaikan oleh SPRM dan dirujuk kepada TPR dan TPR berpuas hati dengan hasil siasatan berkenaan serta memutuskan kes sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

"Tiada sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan dalam dua siasatan itu," kata satu sumber kepada Berita Harian (BH).

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi BH mengesahkan kedua-dua kes yang disiasat itu diputuskan NFA oleh TPR.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai maklumat tambahan berhubung keputusan TPR berkenaan.

SPRM sebelum ini sudah merakamkan keterangan 14 saksi dan membuat pemeriksaan ke atas 10 premis yang berkaitan dengan kedua-dua isu berkenaan, mengikut akta SPRM 2009.

Tiga syarikat yang dikemukakan kepada Fifa bermesyuarat pada 8 April lalu dan sudah melantik sebuah syarikat untuk melaksanakannya.

Malah, penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil daripada keputusan pemilihan yang dibuat sendiri Fifa.

Isu tohmahan dan dakwaan rasuah dalam penganjuran kongres FAM yang ke-60 pula berbangkit selepas 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM, menjadi tular di media sosial.

Ia membangkitkan empat perkara utama iaitu penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC, sebelum berlangsungnya Kongres Tahunan ke-60 FAM, bulan lalu.

Dakwaan itu mendapat perhatian SPRM yang kemudiannya masuk menyiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 8:49 PM