PEMAIN Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok. FOTO TFC
PEMAIN Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang pertemuan dengan KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui skuadnya bakal berdepan laluan getir apabila menentang finalis Piala AFC, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi kedua terakhir Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras malam esok.

Bagaimanapun jurulatih berusia 44 tahun itu percaya jika anak buahnya beraksi mengikut perancangan dan fokus sepanjang 90 minit, tidak mustahil naib juara Piala FA musim ini itu mampu melakar kemenangan.

"Kami akui bukan tugas mudah buat pemain untuk menembusi keampuhan benteng pertahanan skuad Kuala Lumpur yang diketuai Giancarlo Gallifuoco.

"Lagipun motivasi pasukan itu juga pasti meningkat selepas berjaya melangkah ke pentas final Piala AFC dengan menumbangkan wakil Uzbekistan, PFC Sogdiana minggu lalu.

"Namun misi kami adalah tiga mata untuk menempatkan diri ke pentas Piala AFC musim depan, dengan rekod tujuh kemenangan berturut-turut dalam saingan liga, saya mahu kejayaan itu dapat diteruskan," katanya yang menuntut pemainnya mencari gol awal bagi membakar semangat pemainnya.

Dalam pada itu, Nafuzi mengharapkan sentuhan jaringan dapat diteruskan penyerangnya, Kipre Tchetche walaupun pasti pemain kelahiran Ivory Coast itu bakal dikawal ketat pihak lawan.

"Kualiti yang dipamerkan pemain itu (Tchetche) semakin baik, saya tahu kemampuannya sejak 2017 lagi, jadi tidak pelik dengan sentuhan jaringannya ketika ini.

"Saya harap sentuhan jaringannya berterusan kerana misi kita adalah tiga mata untuk mencerahkan peluang beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan," katanya.

Berdasarkan prestasi terkini, kedua-dua pasukan itu berada dalam momentum terbaik untuk melakar kemenangan, namun pasukan yang berjaya mendominasi jentera tengah dijangka bakal merakam kemenangan.

Terkini skuad Penyu menghuni di tangga ketiga liga dengan mengumpul 38 mata manakala skuad The City Boys berada di kedudukan kelima dengan mengutip 29 mata hasil 20 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:11 PM